Suspek guna kepakaran membuat kunci pendua kereta diingini setelah tombol kunci dibuka
BINTULU: Polis berjaya mematahkan cubaan mencuri kereta oleh pasangan suami isteri di Pekarangan Parkir Dewan Suarah di sini pada 2 Disember lalu.Kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 33 tahun itu ditangkap oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitenden Zulkipli Suhaili berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat diperolehi, yang membawa kepada sepasukan polis JSJ bertindak mengekori kenderaan dinaiki suspek ke tempat parkir kenderaan terbabit pada jam 9.40 pagi.
"Hasil daripada intipan mendapati suspek keluardari kenderaannya menghampiri sebuah kereta yang hendak dicuri, lalu mengumpil tombol kunci kenderaan tersebut.
"Kemudian suspek memasuki kenderaannya semula (dan) dalam tempoh 15 minit keluar dari kenderaannya, lalu kembali ke kereta yang hendak dicuri dan seterusnya mengeluarkan kunci membuka pintu kenderaan terbabit untuk mencurinya," ujarnya dalam sidang media di BilikGerakan IPD Bintulu semalam. Hadir sama, Pegawai operasi JSJ IPD Bintulu, Inspektor Luqman Hakim Yusop.
Beliau berkata, pada ketika itu anggota JSJ membuat intipan dan menghampiri kenderaan suspek seterusnya berjaya menangkapnya."Suspek lelaki turut dibantu oleh seorang perempuan yang merupakan isteri suspek dan juga sebagai suspek kedua dalam kes terbabit.
Hasil penangkapan dua suspek itu katanya, polis Bintulu berjaya menyelesaikan lima kes kecurian kenderaan di Bintulu hasil soal siasat yang dijalankan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan."Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan risikan terhadap suspek mengenal pasti kenderaan yang dicuri itu diedarkan untuk dijual dan suspek turut mengaku telah melakukan kes kecurian lima kenderaan di Bintulu," tambahnya.
Jelasnya, kes itu memperlihatkan suspek menggunakan kepandaian dan kepakarannya untuk membuat kunci pendua kenderaan yang dicuri setelah tombol kunci kenderaan berjaya dibuka suspek.
Berikutan itu katanya, suspek yang ditahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan sekiranya sabit kesalahan boleh membawa hukuman tidak kurang satu tahun penjara atau tidak melebihi tujuh tahun penjara dan denda. Sehingga kini katanya, suspek masih dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut dan ditahan reman dari 2 Disember hingga 9 Disember ini dan kemungkinan kami akan memohon lanjut tahanan reman ke atas suspek untuk menjalankan siasatan.
Sumber : Utusan Borneo