KUCHING: Mat Salleh ini pernah mewakili FC Zurich dan FC Juventus dalam kejohanan peringkat umur. Namun ia bukan jalan mudah untuk Kevin Shiak Kin Gunter, 25 tahun dipilih menyarung jersi Bujang Senang pada musim ini.
Jurulatih baharu Sarawak, Ian Andrew Gillan pasti menjelaskan, segala-galanya bergantung kepada kemampuan, kemahiran dan persefahaman yang mampu ditunjukkan oleh pemain kelahiran Zurich, Switzerland itu.
Ya. Gunter orang putih. Tetapi ibunya, Orang Ulu dari Belaga. Kerana itu beliau pemegang pasport Malaysia. Gunter telah berada di Kuching sejak beberapa minggu lalu untuk mencuba nasib dengan skuad Ngap Sayot yang kini menjadi penghuni baharu Liga Perdana.
Jika terpilih, Gunter merupakan pemain naturalisasi kedua Sarawak selepas Bonai atau Rodney Calvin yang mempunyai darah kacukan Ghana-Sarawak. Ketika ini, seramai 30 pemain termasuk satu pertiga pemain baharu telah menjalani latihan pramusim sebelum pemilihan akhir oleh Gillan, yang dijangkakan sebelum Krismas.
Gunter pernah bersama-sama FC Zurich pada tahun 2004/2005 sebelum menyertai SC Young Fellow Juventus (2005/2006) dan FC Wiedikon, Zurich (2006-2015). Gunter kemudian menyertai sesi pemilihan Johor Darul Ta’azim (JDT) pada Julai 2015 namun disunting Negeri Sembilan pada Ogos 2015 untuk beraksi dalam Liga Perdana 2016.
Beliau kemudian menyertai UiTM FC pada pertengahan tahun lalu sebelum menghadiri sesi pemilihan bersama Sarawak.
Kredit : Sarawakvoice