SRI AMAN: Seorang lelaki maut dalam kemalangan di Kilometer 54, Rapak Jinggau, Jalan Sri Aman-Kuching malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Othman Sulaiman berkata mangsa dikenali Langkan Julak, 63, berasal dari Sungai Tebeluan, Pantu.
Beliau berkata, dalam kejadian jam 8.30 malam mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan dari Sri Aman ke Kuching.
Mangsa. Langkan Anak Julak, 48, dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh seterusnya tergelongsor ke laluan bertentangan dan dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah Kuching.
Sementara itu, pemandu kereta terbabit, Maxwell Beti Anak Pit, 28, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Akibat terperosok di bawah kereta, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Anggota bomba daripada Balai Bomba Sri Aman bertindak mengalihkan kereta bagi mengeluarkan mangsa yang sebahagian daripada badannya terperosok di bawah bahagian enjin kereta terbabit.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.
Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.