MUKAH: Satu mayat lelaki warga Indonesia dikenali Angga Wahyudi, 24, dijumpai semalam, iaitu salah seorang daripada mangsa hilang dalam tragedi tongkang karam di Pulau Bruit Sabtu lalu.
Pengarah Operasi Daerah DM 11 Komander Maritim Shahref Steve Mac berkata mayat mangsa dijumpai di pesisiran Kampung Salak Kechil sekitar lima batu nautika dari tempat kejadian dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua.
“Mayat berkenaan ditemui oleh orang awam yang turut serta dalam SAR tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media sejurus setelah mayat dijumpai di sini semalam.
Beliau turut memberitahu bahawa SAR masuk hari kedua pencarian semalam digiatkan sehingga ke kawasan laut dan pinggir pantai dengan penambahan kemudahan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi serta jabatan lain.
Sebelumnya, beliau turut memberitahu bahawa SAR menghadapi kekangan cuaca buruk dan ombak besar namun tetap diteruskan sehingga 25 batu nautika bermula semula pada 6 pagi semalam setelah ditangguhkan pada jam 6.30 petang Ahad lalu.
Dalam kejadian itu, sebuah tongkang membawa muatan konkrit dari Sebauh berlabuh di kawasan Kampung Betanak, Pulau Bruit pada petang sekitar jam 3 petang Sabtu lalu sebelum dijadualkan memunggah muatan dibawa ke sebuah kapal lain keesokannya.
Namun, keadaan cuaca dan ombak membatasi keupayaan kapal berkenaan dan menyebabkannya karam pada malam ia berlabuh di kawasan berkenaan sekitar jam 10 malam.
Namun, dua kru kapal yang dikatakan bertugas pada malam itu sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada muncung kapal selama semalaman sebelum diselamatkan oleh nelayan tempatan keesokan harinya.
Dua yang terselamat adalah Melvin Francis, 20 dan Kenny Clement, 18.
Laporan tentang kehilangan empat mangsa turut dibuat pada pagi kelmarin (Ahad) sekali gus SAR diaktifkan untuk mencari mereka.
Sehingga berita ini ditulis (7 petang semalam) tiga yang masih hilang adalah Pawi Nyawan, pasangan suami isteri Kamal dan Mira, semuanya warga tempatan.
Operasi SAR semalam ditangguhkan jam 6 petang dan akan diteruskan hari ini.
Sementara itu, mayat Angga difahamkan dibawa ke Hospital Daro. -UB