KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan bahawa akan ada peningkatan 25 peratus untuk cukai jalan bagi semua kenderaan di atas 880cc mulai tahun depan.
Justeru, Penolong Pengarah JPJ Negeri Albert Clement menyifatkan berita mengenai perkara tersebut yang disebarkan dalam laman sosial adalah palsu.
“Kami ingin memberi jaminan kepada pemilik kenderaan bahawa cukai jalan bagi kenderaan 880cc dan ke atas akan kekal sama pada tahun akan datang,” katanya.
Oleh itu, beliau menasihati pemilik kenderaan tidak panik dan berharap mereka yang telah menyebarkan laporan palsu agar segera menghentikannya.
Kenyataan akhbarnya semalam, JPJ menafikan berita palsu disebarkan di media sosial terutama menerusi Facebook dan WhatsApp.
“JPJ ingin menafikan bahawa terdapat sebarang pengumuman mengenai kenaikan yuran bagi kenderaan motor 880cc dan ke atas, bermula Januari tahun depan.
“Maklumat itu adalah palsu dan telah diedarkan dalam media sosial dan WhatsApp baru-baru ini. JPJ mengambil isu ini secara serius kerana ia boleh mengelirukan rakyat,”kata kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai dinasihati supaya menghubungi talian ‘hotline’ JPJ Negeri di talian 082-628700.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing menasihati orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan maklumat yang tidak sahih daripada media sosial terutama Facebook dan WhatsApp kerana ia hanya boleh mengelirukan rakyat.
“Jangan letakkan terlalu banyak kepercayaan terhadap media sosial. Sentiasa mengesahkan maklumat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengelakkan panik di kalangan rakyat, “ katanya.
Timbalan Ketua Menteri itu menambah, jika terdapat apa-apa peningkatan dalam cukai jalan, pihaknya akan menjadi yang pertama mengetahui dan akan memaklumkan kepada orang ramai dengan sewajarnya.
Pada masa ini, cukai jalan untuk kenderaan berkuasa 880cc adalah RM20.