Pages

Tuesday, 29 November 2016

Cat Faces, Sarawak catat "Malaysia Book of Records"!

KUCHING: Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Sarawak berjaya mengatasi rekod peserta teramai dalam acara ‘Cat Faces’ di Kuching dengan penyertaan seramai 2,205 peserta semalam berbanding 1,250 peserta sebelum ini.

Rekod ini telah disahkan sekali gus berjaya dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records.

Diadakan di Pustaka Negeri Sarawak di sini, ia turut dihadiri Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah.

Fatimah berkesempatan mengucapkan tahniah kepada pengarah dan kakitangan JPK Wilayah Sarawak atas kejayaan menganjurkan program tersebut yang turut disokong penuh oleh kementeriannya.

“Tahniah kepada semua peserta yang hadir dan yang menyertai acara ini, lebih-lebih lagi apabila berjaya mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records dalam penyertaan terbesar bagi acara menconteng wajah ini,” katanya.

Beliau berkata, objektif utama JPK Wilayah Sarawak mengadakan acara tersebut ialah untuk mempromosi dan menyebarkan peranan serta tanggungjawab jabatan itu dalam pendidikan teknikal dan latihan vokasional kepada masyarakat awam.

Sementara itu, Penolong Kanan Pengarah JPK Wilayah Sarawak Nicholas Bali berkata, program yang julung kali diadakan itu berjaya menghimpunkan kira-kira 205 jurusolek profesional bagi menyolek muka peserta dengan wajah seekor kucing.

“Pada mulanya kami hanya menyasarkan penyertaan seramai 1,500 peserta namun ternyata kehadiran yang diterima begitu memberangsangkan.

“Ini merupakan satu pencapaian membanggakan dalam usaha mengajak lebih ramai generasi muda terlibat dalam aktiviti berfaedah seumpama ini,” jelasnya.

Menurut beliau, acara itu juga bertujuan menggalakkan penyertaan orang awam dalam bidang kemahiran seperti menjadi jurusolek menerusi profesional yang diiktiraf di bawah JPK.

“Justeru, usaha ini pastinya akan diteruskan kerana kita mahu melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran profesional dalam pelbagai bidang,” jelasnya.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) Noriah Ahmad dan Wartawan Kanan Penyelidikan Malaysia Book of Records Nurasyikin Ramli.




--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment