Pages

Friday, 28 October 2016

Jangan buat spekulasi cetus kebimbangan masyarakat


SIBU: Orang ramai dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi yang dibimbangi boleh menggugat ketenteraman awam berhubung kes sekumpulan lelaki merempuh sekatan jalan masuk sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Sungai Arip, Isnin lepas.

Kejadian tersebut mengakibatkan seorang daripada kumpulan lelaki itu maut terkena tembakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, langkah tersebut sangat penting bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mereka.

“Di sini saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya alam satu kenyataan semalam.

Ahli Parlimen Selangau itu turut menasihati penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan supaya tidak panik berhubung kejadian terbabit.

“Ini penting supaya mereka dapat menjalankan rutin harian dengan tanpa rasa takut. Apa yang penting semua pihak harus memberi kerjasama kepada pihak polis.

“Biarlah pihak polis menjalankan siasatan mereka,” jelasnya.

Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Adriana Chumang Nyambong mewakili Entulu turun padang ke lokasi kejadian.

Beliau bersama rombongannya telah meluangkan masa untuk bertemu dengan penduduk setempat di salah sebuah rumah berdekatan.

Difahamkan penduduk rumah panjang masih trauma dengan kejadian terbabit dengan tindakan mereka menutup rapat pintu rumah panjang.

Bagaimanapun, selepas diberi penerangan mengenai keadaan terkini kejadian terbabit, mereka mula kembali ceria dan nampak lebih berkeyakinan.

Dalam tempoh tiga hari, kes seorang lelaki yang mati dengan kesan tembakan dan tetakan berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Sungai Arip, Mukah pada Isnin lalu berjaya diselesaikan hari ini.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor mengucapkan tahniah kepada pasukan petugas khas diketuai Ketua JSJ negeri, Datuk S. Dev Kumar kerana berjaya menyelesaikan kes bunuh itu.

Menurutnya, kes berjaya diselesaikan selepas pasukan (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) bersama JSJ Mukah telah menangkap seorang lelaki berusia 54 tahun di sebuah rumah panjang di Sungai Arip pada pukul 2.30 petang semalam.

"Suspek ini telah membawa pasukan polis ke satu kawasan semak di mana selaras senapang patah disembunyikan.

"Senapang patah ini dipercayai telah digunakan untuk menembak mangsa pada Isnin lalu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pada pukul 12.30 tengah hari tadi, sembilan lelaki berusia antara 18 hingga 45 tahun telah menyerah diri di Balai Polis Pusat Miri.

"Empat daripada mereka adalah suspek-suspek dikehendaki yang dihebahkan dalam media sebelum ini. Mereka telah ditahan dan akan dibawa ke Mukah untuk siasatan lanjut.

"Setakat ini, 22 orang telah ditangkap berhubung kes ini melibatkan 10 penduduk rumah panjang dan 12 lelaki dari Miri," ujarnya.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment