BAU: Penduduk di Kampung Buso kini boleh menarik nafas lega selepas permohonan mereka untuk membina jambatan konkrit dengan kos RM10.7 juta diluluskan kerajaan semalam.
Berita gembira tersebut diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg selepas ‘walkabout’ ke kampung tersebut semalam.
Menurut Abang Johari, pembinaan jambatan tersebut akan mengambil masa tetapi beliau memberi jaminan bahawa ia akan disiapkan dalam tempoh tiga tahun.
“Kita turut meluluskan pembinaan Jambatan Tondong dengan kos RM10 juta dan ia juga akan disiapkan dalam tempoh tiga tahun.
“Jika semua projek ini disiapkan, Buso akan mempunyai jalan akses yang baharu untuk menghubungkan mereka ke Batu Kawa dan pekan Bau,” katanya.
Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan ketika ‘walkabout’ itu semalam turut meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membaik pulih Masjid Darul Ehsan Kampung Buso yang dirasmikan oleh beliau 20 tahun lalu.
Selain itu, beliau turut bersetuju membina baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Buso di satu lokasi baharu yang lebih tinggi dan tidak dinaiki air banjir yang akan dikenal pasti kemudian.
Selesai ‘walkabout’ ke tapak cadangan jambatan, SK Buso dan Masjid Darul Ehsan, Abang Johari turut menyampaikan wang ihsan banjir kepada 81 ketua keluarga dari Kampung Seberang Buso, Kampung Buso dan Kampung Buso Cina.
Kesemua 81 penerima ini merupakan antara 954 keluarga dari daearah ini yang terjejas dalam kejadian banjir awal tahun ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh Gumbek turut menyumbang sebanyak RM15,000 bagi membeli enjin bot berkuasa tinggi untuk kegunaan penduduk kampung.
Terdahulu Penghulu Wahab Mainol berkata Kampung Buso dan Kampung Seberang Buso disifatkan sangat berbahaya kepada murid sekolah terutama ketika musim banjir.
Sehubungan itu, beliau memohon pembinaan jambatan untuk menghubungkan Kampung Seberang Buso dengan Kampung Buso dan tempat-tempat lain.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, ADUN Opar Ranum Mina, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datu Ik Pahon serta yang lain. - UB