Pages

Wednesday 25 November 2015

Mangsa kebakaran Kampung Selipar Putus terus mendapat pembelaan



KUCHING: Kepayahan enam keluarga di Kampung Selipar Putus dekat sini yang hilang tempat berteduh selepas rumah mereka ranap sepenuhnya dalam insiden kebakaran kelmarin (Isnin) mendapat perhatian umum.

Semalam Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah bersama beberapa pegawai kanan agensi kerajaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melawat seterusnya menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Fatimah ketika ditemui wakil media memberitahu, JKMNS terus menghulurkan bantuan makanan segera kepada mangsa iaitu sekitar jam 5.30 petang pada hari kejadian berlaku sebaik dimaklumkan mengenainya.

“Hari ini (semalam) JKMNS selepas mendapat maklumat mangsa terlibat, menghulurkan bantuan mengikut keluarga iaitu dalam bentuk makanan dan wang ringgit bagi membolehkan mereka membeli pakaian harian dan peralatan serta keperluan sekolah.

“Saya dimaklumkan juga sejak kelmarin banyak pihak, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan pelbagai bentuk bantuan,” katanya ketika ditemui semasa melawat mangsa di sini semalam.

Fatimah berkata bagi meringankan beban mangsa, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPBN) tampil menawarkan penempatan sementara iaitu Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Sepakat Jaya di Demak Laut, terletak kira-kira tiga kilometer dari kampung tersebut.

Menurutnya setiap ketua keluarga ditawar kemudahan itu dengan bayaran sewa sekitar RM100 sebulan bagi tempoh maksimum dua tahun dan terpulang kepada mereka untuk menerima atau sebaliknya.

Selain itu katanya, JBPM Sarawak akan membantu mangsa mendapatkan semula dokumen-dokumen peribadi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini.

“Saya dimaklumkan oleh pengarah tadi, JBPM akan menyediakan pengangkutan untuk membawa semua mangsa memohon semula dokumen-dokumen peribadi yang baharu.

“Difahamkan dengan laporan penuh kebakaran dan pegawai bomba hadir sama diharap proses memohon semula dokumen-dokumen ini lebih mudah dan cepat,” katanya sambil menambah, ketika ini mangsa mahu tinggal bersama keluarga masing-masing.

Turut hadir Pengarah Bomba Sarawak Nor Hisham Mohammad dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching Chua Lee Chiew.

Turut membantu, "Hope" yang diketuai oleh Encik Kelvin Wan dan David Chin

--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment