Pages

Wednesday 25 November 2015

Adenan Umum Jambatan Tun Salahuddin bebas Tol berkuat kuasa menjelang akhir tahun ini


BAU: Menjelang tahun depan Sarawak dijangka bebas tol selepas pemansuhan tol terakhir iaitu Jambatan Tun Salahuddin yang akan berkuat kuasa menjelang akhir tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata pemansuhan tol berkenaan seperti yang di janjikan sebelum ini selepas pemansuhan tol bagi dua jambatan sebelum ini iaitu Jambatan Lanang di Sibu dan Jambatan ASEAN di Baram, Miri.

“Kita sudah mansuhkan tol di Lanang, tiada tol di Baram dan menjelang hujung tahun ini tiada lagi tol di Jambatan Tun Salahuddin.

“Begitu juga apabila sudah terlaksananya Lebuh Raya Pan Borneo nanti, kita tidak mengenakan sebarang tol kerana kita mahu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6, Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 dan Cek Pampasan Tanah di Dewan Suarah Bau di sini, semalam.

Tambahan, notis yang disiarkan di pintu tol baru-baru ini juga jelas menandakan bahawa kadar tol Jambatan Tun Salahuddin akan dihapuskan.

Sebelum ini tol Lanang Sibu telah dimansuhkan pada Mei lepas diikuti tol Jambatan ASEAN Baram yang dimansuhkan pada Jun 2015. - Borneo Post
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment