Pages

Friday, 28 August 2015

Penentangan Ke Atas Pentadbiran Brooke pada tahun 1841-1930an

Bukan mudah untuk membina sebuah Negara…. Itulah kata-kata yang sering kita dengar apabila kita memulakan bicara tentang sebuah Negara yang aman dan damai. Kata-kata ini bolehlah kita terapkan di dalam satu lagi informasi sejarah sumber perkongsian artikel kali ini. Apa yang akan dipaparkan adalah merujuk kepada sejarah penentangan-penentangan daripada bangsa Sarawak suatu waktu dahulu ke atas pentadbiran Brooke iaitu Rajah Bangsa Eropah yang pernah memerintah Sarawak selama lebih 100 tahun.

Sebagai seorang Rajah yang baru disebuah negara yang baru yang bergelar Sarawak Kingdom pada ketika itu usaha pertama yang Rajah James Brooke adakan adalah dengan cuba menghakis pengaruh Kesultanan Brunei di dalam pola kehidupan masyarakat Sarawak pada masa itu. Di awal pemerintahannya, kesemua pembesar-pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Brunei telah diketepikan dan beliau melantik pemimpin-pemimpin Melayu, Dayak dan kaum Cina yang menyokong beliau selama ini untuk dijadikan pembesar-pembesar di Sarawak.


Antara masyarakat Melayu yang dijadikan pembesar adalah Datu Patinggi Ali, Dato Temenggung Marsal, Datu Bandar Kanca Muhammad Lana dan Pengiran Matusin. Pada ketika itu juga Rajah James Brooke telah mengadakan peraturan-peraturan serta undang-undang mengikut sistem pemerintahan Inggeris iaitu tempat asalnya, England. Walaupun ada yang menyokong pemerintahan Brooke namun ramai juga yang tidak menyetujui dasar pemerintahan baru yang diperkenalkan oleh Brooke di bumi Sarawak suatu waktu itu.

Penentangan masyarakat Melayu

Ketika banyak wilayah Sarawak menjadi tanah kuripan kepada pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Brunei dahulu, sekumpulan pembesar-pembesar berketurunan Melayu Arab seperti golongan Syarif telah membina pengaruhnya tersendiri di Saribas dan Skrang. Mereka ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada masyarakat Iban yang di Saribas, Skrang dan Batang Lupar. Dan kesemua mereka tidak menyetujui pembaharuan yang diperkenalkan oleh Brooke kerana ini akan menjejaskan sumber pendapatan mereka daripada pungutan cukai dan juga pengaruh mereka semakin berkurangan.

Di ketika inilah munculnya gerakan penentangan oleh Sharif Sahap yang tertumpu di Sibu. Di ketika itu Rajah Brooke telah menggunakan segala yang ada untuk memungkin beliau menguasai industri penanaman sagu yang sangat berharga pada masa itu di pasaran dunia. Gerakan yang didokongi oleh Sharif Sahap yang menguasai Skrang dan adiknya Sharif Mullah yang menguasai Saribas. Pengaruh mereka terlalu kuat di kalangan masyarakat Melayu dan juga Iban di Saribas, Skrang dan Batang Lupar itu menjadikan Rajah James Brooke tidak senang duduk. Pada tahun 1842, Sharif Sahap telah membuat satu perancangan yang teliti untuk menyerang Brooke di Kuching tetapi ianya tidak dibatalkan kerana dikatakan rahsianya sudah bocor dan Rajah James Brooke sudahpun bersedia dengan segala kemungkinan itu.

Kapten Henry Keppel
Dengan alasan untuk memerangi lanun, akhirnya Rajah Brooke telah berjaya meyakinkan kerajaan British untuk membantu beliau. Pada tahun 1844, Kapten Henry Keppel dan armada perang HMS Dido dan HMS Phlegathon datang menghulurkan bantuan dan gerakan penentangan Sharif Sahab dan Sharif Mullah berjaya dikalahkan di Pemutus dan Undup. Di dalam perang ini, kedua-duanya berjaya meloloskan diri dan mereka kemudiannya bersatu dengan Syarif Jaafar di Lingga. Pemburuan mereka tidak terhenti malah Rajah James Brooke dan armada tenteranya menjejaki mereka sehingga ke Kapuas dan akhirnya memaksa mereka berundur ke Pontianak. Akhirnya Sharif Sahab menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pontianak.

Sharif Mullah dan Sharif Jaafar berserta dengan masyarakat Iban Skrang telah sekali lagi cuba menyerang James Brooke di Kuching pada tahun 1845 namun cubaan serangan ini tidak berjaya dan hanya berlaku sekerat jalan. Akhirnya Rajah James Brooke memberikan pengampunan kepada Sharif Mullah dan hanya dibenarkan untuk menetap di Skrang. Manakala Sharif Jaafar pula dilucutkan jawatan pembesar Lingga dan dikenakan perintah untuk tinggal di Sadung. Mana-mana pemimpin Iban yang bersekongkol juga diampunkan dan hidup seperti biasa di kawasan masing-masing tanpa jawatan dan menjadi rakyat biasa. Selepas itu gerakan ini reda.

Sekitar tahun 1854 – 1861 muncul pula satu gerakan penentangan yang didokongi oleh Syarif Masahur. Syarif Masahur merupakan pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Brunei dan sehingga zaman Brooke memerintah penguasaan beliau masih lagi diiktiraf. Beliau tidak berpuashati dengan pemerintahan Brooke yang seperti memperkecilkan kewibawaannya memerintah Sarikei pada masa itu. Dan ini menyebabkan beliau bersama-sama dengan masyarakat Iban di kawasan Kanowit dan Sungai Rejang bangun menentang pemerintahan James Brooke.

Syarif Masahur
Pada tahun 1855, satu ketegangan telah berlaku apabila Pengiran Matusin yang menjadi penyokong kuat Rajah James Brooke telah membunuh Pengiran Arshad iaitu pemerintah di Mukah. Pengiran Arshad merupakan ayahanda mentua kepada Syarif Masahur dan ini menyebabkan Syarif Masahur menyerang Mukah bagi menuntut bela atas kematian ayahanda mentuanya dan menghalau Pengiran Matusin daripada bumi Mukah pada waktu itu. Di ketika itu beliau juga mendapat bantuan daripada masyarakat Iban Kanowit dan Sungai Rejang. Namun serangan ini berjaya dipatahkan dan akhirnya Syarif Masahur dilucutkan jawatannya sebagai pembesar di Sarikei.

Pada 25hb Jun 1859, 2 orang penjawat Eropah iaitu Charles Fox dan Henry Steele telah dibunuh di Kubu Emma. Pembunuh kedua-dua penjawat Eropah ini dikatakan Sawing dan Sakalai iaitu antara mereka yang setia dengan pemerintahan Sharif Masahur. Sebenarnya pembunuhan kedua-dua penjawat bangsa Eropah ini ada kena mengena dengan sentiment anti barat di Banjarmasin 1859 iaitu ketika itu ramai nyawa bangsa Eropah mati ditangan masyarakat Dayak di sana dan ianya merebak sehingga ke bumi Sarawak pada masa itu. Sawing dan Sakalai ini akhirnya ditangkap dan dipenjarakan.

Pada tahun 1860, Sharif Masahor telah bersama-sama dengan Pengiran Temenggung Hashim Jalil dari Brunei turut sama di dalam gerakan Sharif Masahur. Pada ketika itu Pengiran Temenggung Hashim Jalil telah diarahkan untuk ke Pontianak bagi mengatur strategi dengan Datu Patinggi Abdul Ghafur yang hidup dalam buangan di Pontianak. Seharusnya komplot mereka untuk membunuh Brooke dimulai di Sungai Batang Rejang dan seterusnya menyerang Kuching namun pakatan ini dapat dihidu dan akhirnya dengan bantuan pihak Belanda di Pontianak, Pengiran Temenggung Hashim Jalil dan Datu Patinggi Abdul Ghafur telah ditangkap dan dipenjarakan di Batavia.

Pada Februari 1860, perang Sharif Masahor dengan armada tentera Rajah Brooke tidak dapat dielakkan maka berlakulah perang di Batang Rejang. Di dalam perang tersebut, Sharif Masahur dan pengikut-pengikutnya kalah dan ramai yang terkorban. Syarif Masahor pula berjaya meloloskan diri ke Sarikei dan kemudian ke Igan.

Charles Brooke
Dalam pemburuan inilah armada Brooke yang dipimpin oleh Tuan Muda Charles Brooke telah memusnahkan rumah-rumah pengikut Sharif Masahur di Sarikei dan Igan. Syarif Masahur memohon perlindungan daripada iparnya iaitu Pengiran Nipa di Mukah. Pengiran Nipa bersatu dengan Sharif Masahor dan pada bulan Ogos armada Brooke cuba mengalahkan Pengiran Nipa di Mukah namun tidak berjaya.

Setelah tidak berjaya menangkap Sharif Masahor dan juga menyerang Pengiran Nipa di Mukah, akhirnya Rajah Brooke memohon kerjasama daripada Sultan Mukmin untuk memerintahkan Syarif Masahor keluar dari Mukah. Melalui perundingan akhirnya Syarif Masahor menurut perintah Sultan Mukmin dan beliau kemudiannya dibuang ke Selangor dan meninggal dunia di Selangor pada tahun 1890. Pengiran Nipa pula dilucutkan jawatan dan akhirnya Rajah Brooke melantik Pengiran Matusin sebagai pembesar di Mukah.

Penentangan Masyarakat Cina

Sebenarnya kedatangan masyarakat Cina di Sarawak telah berlaku lebih awal lagi iaitu semenjak pembukaan lombong-lombong antimoni dan emas di kala pemerintahan Pengiran Mahkota lagi. Dan ianya di dalam skala besar apabila Rajah Brooke memerintah kerana dasar Brooke yang mahukan mereka membina ekonomi bagi Sarawak Kingdom pada masa itu.

Pada tahun 1857, muncul pula gerakan penentangan oleh masyarakat Cina yang menjadi pelombong di Bau. Mereka adalah daripada masyarakat Cina Hakka yang berasal dari Sambas dan mereka sudahpun berada di Sarawak sekitar tahun 1820an lagi. Golongan ini membuat kongsinya sendiri yang dinamakan San-Tiau Kou dan Ta-King. Kedua-dua pertubuhan kongsi ini bersatu padu dengan mengusahakan lombong-lombong di Bau, Bidi, Paku dan Tandong.

Apabila Brooke memerintah banyak urusan lombong-lombong antimoni dan emas diberikan kepada Borneo Limited iaitu sebuah syarikat yang menjadi hak milik Kerajaan Sarawak. Dasar ini tidak disenangi oleh kumpulan kongsi ini dan bermulala penentangan daripada mereka.

Sebenarnya Rajah Brooke tidak menggemari kesatuan kongsi-kongsi ini kerana dikatakan mereka seperti telah menubuhkan “negeri di dalam negeri” ketika itu. Kesatuan kongsi-kongsi ini dikatakan mempunyai sistem kehakiman tersendiri, membuat senjata, menggunakan matawang sendiri malah mengibarkan bendera mereka sendiri tidak bendera Sarawak Kingdom. Keadaan ini harus dihentikan maka muncullah sebuah syarikat perlombongan Sarawak sendiri di dalam memastikan pengaruh ini tidak terus menular.

Selain daripada itu pada tahun 1852, Rajah Brooke telah mewujudkan Daerah Bau di dalam peta Sarawak. Masyarakat cina dibenarkan melantik kapitan daripada bangsa Cina dengan pada masa yang sama seorang Kapitan Inggeris juga akan berada di Bau di dalam usaha mengawal pengaruh mereka di Bau. Pada ketika inilah Brooke telah menggunakan kuasanya dengan tidak membenarkan ahli kongsi membuat keputusan-keputusan penting seperti mengendalikan kes jenayah dan juga dengan sesuka hati mengambil tanah milik masyarakat tempatan di Bau malah membina parit pun tidak dibenarkan.

Jika dahulunya candu merupakan makanan bagi masyarakat Cina tetapi ketika di era pemerintahan Brooke, undang-undang Candu menjadi peraturan yang menjadi duri dalam daging bagi mereka. Masyarakat Cina Hakka juga tidak menyetujui untuk sumber ekonomi mereka sama-sama dikongsi dengan masyarakat Cina Hokkien dan Teochew di Kuching kerana ini adalah permusuhan lama antara mereka sejak dahulu lagi.

Akhirnya pada 18hb Februari 1857, lebih kurang 600 orang masyarakat pelombong Cina Hakka di Bau telah berangkat dari Tundong ke Kuching dan menyerang kediaman Rajah Brooke. Serangan yang tidak diduga ini hampir membunuh Rajah Brooke sendiri kerana beliau sempat menyelamatkan diri dengan terjun ke Sungai Sarawak dan memohon perlindungan daripada perkampungan Melayu di tepi Sungai Sarawak pada masa itu. Selama 3 hari, Kuching menjadi tawanan kepada pelombong-pelombong Cina yang akhirnya berjaya dikalahkan oleh armada tentera Tuan Muda Charles Brooke yang disertai oleh masyarakat Melayu dan Dayak Sarawak akhrinya berjaya menawan Kuching kembali.

Selepas itu pemburuan kepada pelombong-pelombong Cina Hakka ini diteruskan sehingga melepasi sempadan. Di kala inilah diceritakan pelombong-pelombong Cina Hakka ini tidak terkecuali anak dan isteri mereka yang bersembunyi menyelamatkan diri juga turut dibunuh oleh tentera Brooke di dalam memastikan tiada lagi ancaman daripada pelombong-pelombong ini.

Penentangan Masyarakat Dayak Sarawak

Masyarakat Dayak juga bangun menentang pemerintahan Brooke di bumi Sarawak. Sejarah telah membuktikan bahawa Gerakan Rentap yang dimulai pada tahun 1849 – 1861 telah banyak membuatkan Rajah Brooke “pusing kepala”. Banyak ekspedisi-ekspedisi yang telah dilancarkan oleh Brooke bagi memastikan pengaruh penentangan yang dikelola oleh Rentap ini tidak menular di bumi Sarawak pada masa itu.

Pada 31 Julai 1849, Perang Banting Maru berlaku antara Rentap dengan pengikutnya melawan armada tentera Brooke yang juga dianggotai oleh masyarakat Iban yang menyokongnya. Kubu di Tabbat menjadi benteng pertahanan Rentap dan dia mendapat sokongan padu daripada iban di Skrang dan Saribas. Brooke pula membina kubu di Lingga namun ianya masih tidak berkeupayaan untuk menyekat kemaraan Rentap dan pengikutnya.

Pada bulan Disember 1852, Rajah Brooke telah datang ke Skrang untuk berunding dengan Rentap namun ianya tetap ditolak oleh Rentap. Akhirnya bermula pada bulan Ogos 1854, dengan bantuan masyarakat Melayu dan dayak sendiri berserta dengan armada tentera Brooke satu ekspedisi telah dihantar untuk menghapuskan pengaruh Rentap dan pengikutnya di Sarawak. Perang di Bukit Saduk 1857 adalah perang yang paling epik apabila sebanyak 2 kali armada Brooke cuba untuk menguasai Kuta Rentap di Bukit Sadok namun menemui kekalahan. Hanya ekspedisi ketiga yang berjaya itupun kerana meriam yang digunakan oleh Rentap tidak berfungsi barulah armada tentera Brooke berjaya menawan Kuta Rentap. Namun didalam perang ini, Rentap yang cedera berjaya meloloskan diri dan berundur ke Entabai dan Julau dan akhirnya beliau meninggal dunia akibat sakit tua.

Sekitar tahun 1875, satu penentangan telah berlaku yang didahului oleh masyarakat Iban Hulu Batang Lupar yang dipimpin oleh Ngumbang. Puncanya adalah keengganan masyarakat Iban Hulu Batang Lupar untuk membayar cukai pintu kepada pemerintahan Brooke. Ekspedisi yang dihantar untuk menghalang pengaruh Ngumbang telah dijalankan namun ianya tidak berhasil sehinggalah pada tahun 1886, Ngumbang bersetuju untuk berdamai dengan kerajaan Brooke maka redalah penentangan yang dibuat oleh Ngumbang dan pengikut-pengikutnya.

Pada tahun 1890 – 1908, muncul pula penentangan yang dipimpin oleh Bantin. Bantin adalah anak Iban kelahiran Delok dan beliau juga digelar Ijau Layang. Beliau sebenarnya pernah terlibat melawan pemerintahan Brooke pada tahun 1875 dibawah Ngumbang di Bukit Seligi. Penentangan Bantin ini bermula apabila masyarakat Iban pada masa itu tidak dibenarkan untuk berpindah randah seperti apa yang biasa mereka lakukan. Peraturan Brooke yang tidak membenarkan mana-mana masyarakat Dayak untuk berpindah randah membuka kawasan baru telah menjadi duri dalam daging bagi Bantin.

Bantin dan pengikut-pengikutnya tidak memperdulikan apa jua peraturan Kerajaan Brooke pada masa itu disifatkan sebagai penentangan kepada undang-undang Sarawak Kingdom. Bantin sebenarnya tidak memusuhi Kerajaan Brooke tetapi memusuhi Bailey yang merupakan penjawat Eropah yang menjadi Residen di Bahagian Kedua pada akhir tahun 1890. Bailey langsung tidak memberikan ruang kepada masyarakat Iban di bahagian kedua untuk membuat sesuatu yang mereka telah lakukan berabad lamanya.

Akhirnya pada 1896, Bailey sendiri mengetuai satu ekspedisi untuk menangkap Bantin. Pada masa itu Bailey dan anggota keselamatan Sarawak  dikatakan telah berjaya membunuh anak saudara Bantin dan membawa mayat anak saudaranya ke Skrang. Bantin dan pengikutnya tidak berdiam diri sebaliknya melancarkan perang habis-habisan ke atas Bailey di Skrang. Bailey dan pengikutnya yang kalah telah berundur dari Skrang dan akhirnya Rajah Brooke menghantar Panglima Dalam Munan dari Rejang untuk mengajar Bantin.

Pada bulan Disember 1901, sekali lagi keadaan menjadi kacau bilau apabila salah seorang pemuda Iban yang tinggal di sempadan Kalimantan telah dibunuh di Sermat. Dengan secara tertib pihak Kerajaan Brooke telah mengambil langkah memenjara pembunuh-pembunuh dan membayar pati nyawa kepada keluarga Iban tersebut. Namun begitu, Bantin yang mempunyai kaitan persaudaraan dengan si mangsa tidak berpuas hati dan mula menyerang rumah panjang pembunuh-pembunuh itu di Sermat antara bulan Mac sehingga Mei 1902.

Rajah Brooke yang hilang sabar atas Bantin akhirnya menghantar satu ekspedisi menghapuskan Bantin pada Jun 1902. Ketika itu dikatakan Rajah Brooke menghantar tentera seramai 12000 orang untuk menghapuskan Bantin. Namun sekali lagi ekspedisi kepada Bantin menemui kegagalan kerana dikatakan ramai tentera yang terkorban kerana wabak kolera yang menyerang pendalaman Sarawak pada masa itu. Setelah itu dikatakan ramai masyarakat Dayak di Hulu Batang Lupar sudah mula mengiktiraf undang-undang Rajah Brooke dan Bantin sendiri telah berpindah ke Sungai Leboyan, Kalimantan dan meninggal dunia akibat sakit tua pada tahun 1930an.

Pada tahun 1930 – 1932 muncul pula penentangan yang didokongi oleh Penghulu Asun. Sebenarnya Penghulu Asun ini berada di pihak Rajah Brooke sewaktu gerakan Bantin berlaku. Kerana beliau merupakan antara masyarakat Dayak yang menyokong kepimpinan Brooke akhirnya beliau dianugerahi dengan pangkat Penghulu. Beliau merupakan anak Iban dari Entabai dan menjadi Penghulu bagi kawasan Entabai sekitar tahun 1915.

Penentangan yang dipelopori oleh Penghulu Asun ini adalah kerana satu salah faham antara Penghulu Asun dengan CD Adam iaitu Residen Bahagian Ketiga pada masa itu. Pada tahun 1926, Penghulu Asun telah meletakkan jawatan penghulu dan menyerahkan semula barangan kebesaran yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak kepada beliau. Punca perbalahan adalah kerana undang-undang migrasi yang dikuatkuasakan pada tahun 1926 oleh CD Adam. Penghulu Asun merasakan ianya keterlaluan kerana pada ketika itu sesiapa sahaja masyarakat Dayak yang hendak keluar dari kawasan di Bahagian Ketiga harus mendapat pas keluar dari Residen sesuatu yang tidak masuk akal baginya.

Selain daripada itu sekitar 1920 – 1930 an banyak undang-undang daripada Kerajaan Brooke yang telah menekan masyarakat Dayak di bumi Sarawak pada masa itu. Antara undang-undang yang dibuat adalah:

1. Cukai dikena 1 Sarawak Dollar bagi setiap bilik di rumah panjang tanpa mengira penghuninya janda ataupun orang miskin.
2. Cukai tambahan pula dikenakan untuk setiap tangga rumah panjang sebanyak 5 Sarawak Dollar
3. Cukai senapang patah dikenakan keatas semua masyarakat Iban yang mempunyai senjata.
4. Setiap rumah panjang hanya dibenarkan dibina yang boleh memuatkan 10 buah keluarga sahaja.
5. Jabatan Hutan Simpan dan Perhutanan yang ditubuhkan pada tahun 1920 an oleh Kerajaan Sarawak  telah menghentikan amalan tanaman pindah, penebangan hutan serta mengutip hasil hutan juga memburu binatang selain dengan kebenaran.

Dan inilah antara yang membawa kepada ketidakpuasan hati Penghulu Asun ketika itu sehingga dia yang pada mulanya seorang penyokong Kerajaan Brooke akhirnya menjadi musuh kepada Kerajaan Brooke sendiri. Akhirnya Penghulu Asun ini meninggal dunia pada tahun 1958.

Inilah satu sejarah panjang gerakan penentangan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu, Dayak dan Kaum Cina di Sarawak suatu waktu dahulu iaitu penentangan yang dilakukan sewaktu pemerintahan Rajah Brooke di Sarawak pada suatu waktu itu iaitu dari tahun 1841 sehingga 1930an. Bukan senang untuk membina sebuah negara dan perumpamaan itu juga harus digunapakai untuk kita mendalami apa yang kita ada sekarang.

#KamekSayangSarawakBah!

Sumber : Borneo Oracle
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment