Pihak pengurusan bangunan tinggi di Sibu mula ‘gayat’ dan bertindak mengunci semua tingkap bangunan secara kekal berikutan kes seorang wanita terbunuh selepas dipercayai terjun dari Tingkat 21, Wisma Sanyan pagi Rabu lepas.
Sehubungan itu, pihak pengurusan bangunan 28 tingkat Wisma Sanyan yang disenarai sebagai bangunan tertinggi di negeri ini mengambil keputusan menanggalkan semua gagang tingkap sejurus selepas mangsa dikenali sebagai Tiong Chiong Yiong, 46, jatuh dari bangunan dipercayai polis se-bagai kes bunuh diri.
Jurutera perkhidmatan Wisma Sanyan Tony Hii berkata, semua gagang tingkap bahagian bangunan mudah dimasuki telah ditanggal sebagai langkah keselamatan.
“Kami melakukan ini susulan nasihat daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. Apabila tiada gagang, tingkap tidak boleh dibuka sesiapa kecuali juruteknik pada waktu kecemasan,” katanya ketika ditemui pagi semalam.
Bagi tingkap pejabat jabatan kerajaan dalam bangunan itu, Tony menasihat, pengurusan jabatan mengambil langkah keselamatan sama mengelak kejadian tidak diingini berlaku pada masa akan datang.
Tony berkata bangunan Wisma Sanyan telah memenuhi syarat keselamatan seperti arahan Jabatan Bomba dan insiden Rabu lalu dianggap satu kejadian malang mengejutkan ramai orang.
Beliau berkata, sebelum ini semua tingkap bangunan itu dipasang dengan palang keselamatan menyebabkan ia dapat dibuka sehingga tujuh inci menjadikan ruang keluar amat sempit.
“Bagaimanapun, dalam kes tragis itu, mangsa mungkin telah menanggalkan palang keselamatan berkenaan menyebabkan dia mampu membolosi ruang tingkap,” katanya.
Menngulas mengenai bagaimana mangsa berjaya menyusup masuk ke bangunan berkenaan awal pagi kejadian, beliau berkata, bangunan itu dibuka jam 6.30 pagi setiap hari terutama untuk kakitangan pejabat bertugas di situ.
Sementara itu, Pengarah Urusan Hotel Tanahmas, Clarence Ting turut mengeluar arahan agar semua tingkap kesemua 120 bilik di hotel berkenaan ditutup secara kekal selepas insiden terjun di Wisma Sanyan itu.
“Sebelum ini, anak tetingkap bilik hotel boleh dibuka luas dari kiri ke kanan, tapi kini semua ditutup secara kekal sebagai langkah keselamatan,” katanya.
Manakala Pengurus Besar Paramount Hotel, Roy Ting berkata, langkah keselamatan serupa telah lama dipraktik pihak pengurusan hotel berkenaan sejak 2003.
“Semua tingkap bilik penginapan hotel dikunci secara kekal selepas kes seorang lelaki terjun dari bangunan itu,” katanya.
Terdahulu, ibu mentua mangsa berumur 60-an memberitahu, mangsa telah bercerai dengan anaknya sejak lima tahun lepas.
Namun dia enggan mendedahkan sebab pasangan itu bercerai kerana ia terlalu peribadi.
Bekas suami Tiong merupakan seorang ahli perniagaan dan hasil perkahwinan mereka mempunyai seorang anak perempuan berumur lebih kurang 10 tahun.
Setiap bulan bekas suami mangsa menghantar wang persekolahan kepada anak mereka sehingga mencecah umur 18 tahun.
Dalam pada itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Tiong memasuki lobi tingkat bawah jam 6.50 pagi.
Selepas memasuki lif dia tiba di Aras 21, mangsa terus menuju ke arah tingkap sebelum terjun dan terkorban akibat mengalami kecederaan serius pada pinggul dan paha.
