KUCHING: Polis menafikan dakwaan akan melakukan sekatan jalan raya di seluruh negeri bagi menahan pemilik kenderaan yang melekatkan pelekat ‘Sarawak4Sarawakian’ (S4S) pada kenderaan mereka.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Mohd Sabtu Osman berkata beliau tidak ada mengeluarkan arahan agar sekatan jalan raya diadakan di seluruh Sarawak bagi tujuan tersebut.
“Saya tidak ada mengeluarkan sebarang arahan tersebut,” tegasnya ketika dihubungi semalam sebagai mengulas persoalan yang ditimbulkan Setiausaha Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) Lina Soo yang diposkan dalam laman Facebooknya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Roslan Bek Ahmad yang ditemui pada majlis sumbangan bubur lambuk Persatuan Jurufoto Akhbar Sarawak (SPPA) kepada anggota keselamatan di sini memberitahu, tindakan ke atas mereka yang menampal pelekat berkenaan tidak boleh diambil kerana ia tidak dianggap berbuatan menghasut.
Roslan bagaimanapun berkata anggota polis perlu mengelak daripada menampal pelekat itu, pada kenderaan masing-masing atau kenderaan jabatan.
“Sebagai kakitangan awam, anda (polis) perlu dilihat berkecuali bagi membolehkan anda menjalankan tugas dengan lancar dan penuh berintegriti,” tegasnya.
Bagaimanapun ujarnya, polis akan mengambil tindakan sekiranya pelekat yang digunakan mempunyai mesej melampau seperti ‘Let Us Pull Out From Malaysia’ atau ‘Let Us Overthrow The Government’.
Slogan ‘Sarawak For Sarawakian’ atau Sarawak untuk rakyat Sarawak telah lama wujud yakni sebelum terbentuknya Persekutuan Malaysia bersama Sabah, Singapura dan Tanah Melayu pada 16 September 1963.
Ia membawa makna yang menjelaskan bahawa Sarawak ialah warisan orang Sarawak malah banyak kumpulan menggunakan slogan itu bagi menunjukkan kesetiaan mereka kepada negeri ini.
Ia semakin popular apabila pelekat ‘Sarawak For Sarawakian’ termasuk baju yang mencetak logo berserta slogan sama banyak digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Bagaimanapun ia mula menjadi kontroversi apabila slogan berkenaan turut digunakan sekumpulan individu termasuk kumpulan diketuai Soo dalam usaha menyokong gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).
Sehingga penggunaan slogan itu dilihat berbaur hasutan dan gerakan SSKM harus dihentikan demi kemakmuran negara.