KUCHING: Teruja melihat wang tunai sebanyak RM22,000 menyebabkan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tertinggal kad pengenalannya (MyKad) di dalam beg milik mangsa penipuannya.
Insiden dilaporkan menimpa seorang wanita warga emas, 65, apabila dia didatangi dua lelaki dan seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai JKM dan ingin membantu mangsa memohon bantuan masyarakat.
Difahamkan, mangsa ketika itu berada di kebunnya di Kampung Sikog, Padawan dan kemudian membawa ketiga-tiga suspek pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari kebunnya sekitar jam 11 pagi.
Semasa di rumah mangsa, suspek meminta mangsa menunjukkan buku wang simpanannya dan memberitahu mangsa bahawa akaun simpanannya perlu dikosongkan dan wangnya akan disimpan ke dalam satu akaun sementara.
“Mangsa kemudian dibawa oleh ketiga-tiga suspek pergi ke sebuah bank di Satok dan ketika itu dua daripada suspek mengiringi mangsa mengeluarkan wang berjumlah RM22,000 dari akaunnya.
“Selepas mengeluarkan wang tersebut, mangsa kemudian dibawa ke sebuah bank di Batu 10, Kota Padawan dan memberitahu wang tersebut akan disimpan dalam akaun sementara,” kata sumber.
Mangsa selepas itu diberitahu bahawa mereka perlu membawa seorang anak mangsa untuk menjadi saksi.
“Mangsa yang tidak menyedari dirinya ditipu hanya bersetuju dengan arahan ketiga-tiga suspek dan setiba di rumahnya, suspek kemudian memberitahu mereka perlu ke Kampung Mambong dan akan kembali menjemput mangsa semula.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek tidak muncul selepas itu dan baharu mangsa sedar dirinya te-lah ditipu,” kata sumber.
Mangsa yang risau dengan perkara tersebut bagaimanapun menarik nafas lega apabila dia menemui MyKad milik seorang daripada suspek yang tertinggal di dalam begnya.
Mangsa dengan diiringi ahli keluarganya kemudian segera membuat laporan polis berhubung ke-jadian di balai polis berhampiran.
Pihak polis dilaporkan masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta menjejaki ketiga-tiga suspek terbabit.
