Pihak tertentu yang memainkan sentimen kenegerian diingat supaya tidak bermain api dengan aspek keselamatan negara.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebarang langkah yang dianggap mengancam ketenteraman atau kestabilan Malaysia mesti ditentang.
Katanya perbezaan pendapat dan hasutan tidak boleh dibiarkan sehingga rakyat menanggung derita atau membawa kepada campur tangan asing.
Tindakan segelintir pihak di negara ini yang menghasut rakyat dengan slogan Sabah Untuk Sabah dan Sarawak Untuk Sarawak cukup bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
"Tindakan bermain api yang mahu mewujudkan anarki dan ketidakstabilan negara harus kita tentang.
"Bak kata orang tua-tua, bertelingkah antan dilesung, ayam juga yang kenyang. Janganlah sampai kita menanggung derita akibat permainan dan hasutan campur tangan asing kelak," katanya.
Memetik krisis yang berlaku di Catalonia, Sepanyol, Ahmad Zahid berkata tindakan menghasut dengan sentimen seumpama itu adalah kesalahan amat serius dan boleh dikenakan hukuman berat.
Tiada sesiapa yang kebal dari segi undang-undang. Perkara ini tidak harus dibenarkan berlaku," katanya semasa berucap merasmikan persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di Kuala Lumpur malam ini.
Sayap Umno itu akan bersidang seharian esok sebelum Perhimpunan Agung Umno berlangsung pada Khamis.
Menjelang pilihan raya umum akan datang, Umno diramal berdepan dengan tentangan sengit pembangkang dan mereka tidak lagi boleh memandang mudah termasuk cabaran dari Sabah dan Sarawak.
Menurut Ahmad Zahid tindakan subversif itu mula berlaku apabila ada pemimpin "terperangkap dalam percaturan dalang-dalang politik bankrap idea dan muflis jiwa".
"Kerana asakan gelojoh nafsu dan serakah politik bertuankan tok dalang terbabit, mereka rela menjadi bidak-bidak di papan catur," katanya.
sumber : http://bit.ly/2ipzvUn