LONDON: Atas jemputan Sekretariat Komanwel, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg menyampaikan ucapan khas semasa Program Induksi Diplomat Komanwel yang berlangsung di Malborough House di ibu negara Britain.
Jemputan ini adalah susulan kolaboratif Akademi Kepimpinan Komanwel yang menyaksikan Sarawak mempunyai peranan signifikan dimainkan.
Abang Johari ketika berucapan berkongsi mengenai pengalaman Sarawak sejak beberapa tahun lalu dalam membangunkan ekonominya termasuk mengekalkan keharmonian pelbagai kaum serta agama, melindungi alam sekitar, memulihara dan memelihara hidupan liar, membangunkan sumber tenaga diperbaharui serta membangunkan ekonomi negeri secara lestari.
Beliau memberi penekanan khusus kepada usaha transformasi Sarawak kepada ekonomi digital dan menegaskan revolusi digital merupakan kuasa yang tidak
dapat disekat.
Menurut Abang Johari lagi, Sarawak perlu beralih daripada ekonomi konvensional kepada transformasi digital atau berdepan risiko ketinggalan.
Menjawab soalan daripada seorang audien semasa sesi soal jawab, beliau berkata kerajaan mesti menyesuaikan dasar-dasarnya dengan aspirasi generasi
muda.
“Di Sarawak, 60 peratus penduduknya adalah belia. Perubahan kepada ekonomi digital akan memberi peluang kepada golongan muda ini, yang celik Internet terlibat aktif dalam mendigitalkan ekonomi,” ujarnya. Terdahulu, setibanya di Malborough House, Abang Johari dan delegasinya mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Komanwel Baroness Patricia
Scotland.
Antara yang mengiringi beliau semasa pertemuan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Sabariah Putit dan pengerusi penganjur ‘Emerging Leaders Dialogue (ELD) Asia 2016’ Adrian Jerome.
Dalam pertemuan berlangsung kira-kira setengah jam itu, mereka menyentuh mengenai usaha-usaha menyediakan landasan bagi memperkukuhkan lagi peranan kepimpinan dalam kalangan pemimpin negara-negara Komanwel.
Abang Johari mengetuai delegasi dari Sarawak mengadakan lawatan sambil belajar ke Eropah selama dua minggu dan pulang ke Kuching semalam.
