Pages

Monday, 9 October 2017

40 penagih baharu ditahan dalam Ops Perdana


KUCHING: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak berjaya menahan 40 penagih baharu dalam Ops Perdana yang dijalankan serentak di seluruh negeri yang bermula kelmarin.

Pengarahnya Wan Madihi Wan Salleh berkata, dalam operasi dengan kekuatan 45 anggota termasuk anggota RELA yang dijalankan bermula jam 10 pagi

hingga lewat malam kelmarin itu, sebanyak 81 individu telah disaring air kencing.

Menurutnya, daripada jumlah itu 40 individu positif mengambil dadah, yang kesemuanya penagih baharu.

“Daripada 40 individu yang dikesan positif dadah, 39 daripadanya lelaki dan seorang wanita, berusia antara 19 hingga 39 tahun dan kebanyakan mereka mengambil dadah jenis syabu.

“Pada operasi ini juga kami mengesan lapan kawasan panas di Kuching merangkumi kawasan sekitar Kampung Sin Sin, Sungai Bedil, Dewan Undangan Negeri Lama, Bintawa, Gita dan Samariang hasil aduan orang ramai,” katanya pada sidang media di ibu pejabat AADK Sarawak di sini malam kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai statistik tangkapan itu, Wan Madihi berkata Kuching mencatat jumlah tertinggi iaitu seramai 20 orang, diikuti Sibu sembilan orang, Kota Samarahan lapan orang dan Miri tiga orang.

Beliau memberitahu, kesemua yang ditahan akan ditempatkan ke pusat pemulihan bagi menjalani proses pemulihan dan rawatan.

“Ops Perdana ini akan kita teruskan sehingga hujung tahun ini di seluruh kawasan di negeri ini bagi membawa seramai mungkin penagih mendapatkan rawatan dan pemulihan,” tegasnya

--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment