Mungkin ini kali pertama anda mengetahui tentang adanya Garam Bario atau lebih dikenali dengan nama garam bukit Bario. Ia dibuat secara tradisional oleh kaum Kelabit. Seperti garam bukit yang ada di pasaran, garam Bario juga kaya dengan kandungan mineral yang baik untuk kesihatan seperti zat besi, iodin, kalium & magnesium. Selain berfungsi sebagai penambah rasa masin makanan, garam Bario berkhasiat dalam membantu melancarkan peredaran darah, menyeimbang cas dalam badan serta boleh jiga digunakan sebagai membunuh kuman dalam udara.
Telaga air masin |
Untuk mendapatkan garam Bario bukanlah sesuatu yang agak mudah kerana untuk menuju ke lokasi(telaga air masin) perlu meredah kawasan hutan berbukit yang sedikit berlumpur. Lokasi terkenal penghasilan garam bukit di Bario terletak di kampung Pa'umur. Proses membuatnya pun agak sukar kerana kebiasaannya mereka akan melakukan aktiviti ini bersama keluarga disebabkan proses untuk membuat garam sekurang-kurangnya 2 minggu kerana ia dilakukan secara tradisional. Selepas 2 minggu kemudian, setelah selesai proses membuat garam, tempat mereka akan diambil alih secara giliran oleh keluarga lain untuk proses yang sama.
Proses membuat garam bukit dimulakan dengan memasak air garam dalam kawah yang diambil dari sumber mata air masin dan dibakar menggunakan kayu api. Proses pembakaran ini mengambil masa agak lama sehingga membentuk kristal halus atau garam halus. Sebaik sahaja rupa garam kelihatan, ia akan dikacau untuk mengekalkan kualiti. Garam yang telah tersejat akan dibiarkan sejuk sebelum dimasukkan ke dalam buluh yg telah ditebuk lubang kecil supaya air yang berlebihan keluar.
Digunakan untuk proses pembakaran |
Sekali lagi buluh yang telah diisi dengan garam tadi dibakar di atas bara supaya garam menjadi keras. Proses ini dilakukan sehingga buluh terbakar dan garam tersebut akan menjadi ketulan setelah terkeluar dari buluh yang telah hangus. Seterusnya bahagian luar garam ini akan dikikis menggunakan pisau untuk menghilangkan kesan hitam terbakar.
Ketulan garam akan dibungkus menggunakan sejenis daun yang dikenali daun "Ilat" kemudian diikat menggunakan tali rotan.
Untuk proses membungkus, ketulan garam akan dibalut dengan sejenis daun dikenali sebagai 'Daun Ilat' dan diikat kemas menggunakan tali rotan. Harga sebatang garam bukit akan dijual dengan harga Rm10 sehingga ke RM15. Namun kos akan meningkat sehingga ke RM25 ke RM30 jika dibeli di kawasan bandar. Selain dari bentuk batang, garam Bario juga ada dijual dalam bentuk bungkusan plastik dan botol.