"Saya akan dedikasikan persembahan serta hati saya pada Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) nanti kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem," demikian kata penyanyi kelahiran Sarawak Dayang Nurfaizah.
Lelaki Teragung dendangan Dayang Nurfaizah antara 12 lagu yang layak ke pertandingan AJL31 yang bakal berlangsung pada 22 Januari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Dayang Nurfaizah berkata beliau menyedari harapan tinggi rakyat Bumi Kenyalang agar dendangan lagu itu nanti turut dibuat secaratribute kepada Adenan, bagaimanapun berkata sukar untuk mengubah konsep persembahan memandangkan semua perancangan sudah dibuat sejak sebulan lalu.
Persiapan semua sudah siap, minggu depan tinggal latihan bersama kumpulan orkestra dan juga kumpulan muzik (band) di venue pertandingan (PWTC). Jika konsep persembahan ditukar pelbagai perkara perlu diambil kira kerana perlu melibatkan ramai pihak juga.
"Biarpun konsep persembahan tidak ditukar saya akan dedikasikan persembahan serta hati saya nanti kepada Tok Nan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sejak semalam, rata-rata netizen (warga media sosial) melahirkan keinginan melihat Dayang Nurfaizah membuat persembahantribute (memberi penghormatan) ketika mendendangkan lagu Lelaki Teragung untuk Adenan nanti.
Dayang Nurfaizah menegaskan biarpun konsep persembahan itu nanti tidak dibuat secara tribute terus kepada Adenan, itu tidak bermakna semangat beliau sebagai anak Sarawak menjadi kurang.
"Saya tidak mahu buat tribute dengan sekadar letak gambar. Konsep persembahan perlu dibuat sebaik mungkin, dan seperti saya katakan tadi, kalau konsep persembahan yang sudah dibuat sejak sebulan lalu ditukar ia melibatkan ramai pihak," katanya.
Sebagai anak Sarawak biarpun berada Kuala Lumpur, pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty turut berkongsi kesedihan berita pemergian ketua menteri itu berkatatribute kepada Adenan mungkin boleh dilaksanakan dalam bentuk lain.
"Saya berharap kita boleh buat tributeatau something kepada Tok Nan. Kalau boleh ada pihak yang mengumpul penyanyi kelahiran Sarawak seperti Hafiz Suip, Bob AF serta mana-mana penyanyi lain dan kita buat persembahan itu nanti di Sarawak," katanya.
Berkongsi pengalaman membuat persembahan pada majlis yang melibatkan Adenan, Dayang Nurfaizah berkata Tok Nan seorang yang menyukai muzik.
"Bila buat persembahan kadang kala kita boleh nampak ada yang tidak ambil tahu pun tapi Tok Nan lain, dia tahu, dia hargai, enjoy serta menghargai persembahan tersebut. Saya amat berbesar hati diundang melibatkan majlis Tok Nan tambahan lagi sebagai anak Sarawak," katanya.
Dayang Nurfaizah berkata secara peribadi beliau tidak pernah bercakap dengan Adenan, namun sentiasa mengikuti perkembangan ketua menteri Sarawak kelima itu.
"Saya berada di Kuala Lumpur tetapi sentiasa ikut perkembangan beliau, semangatnya membela rakyat menerusi dasar-dasar yang dibuat membuatkan saya amat bangga sebagai anak Sarawak," katanya.