KUCHING: Mahkamah Sesyen Kuching hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 54 tahun dan 21 sebatan kepada seorang bapa kerana melakukan sumbang mahram terhadap anaknya November lalu.
Hakim, Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menetapkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 40 tahun mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan sumbang mahram terhadap anaknya yang berusia 17 tahun di rumahnya di Kampung Sinjan, di sini pada 12, 20 dan 21 November lalu.
Tertuduh yang juga penganggur didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.
Hakim menetapkan hukuman penjara 18 tahun dan 7 sebatan bagi setiap pertuduhan dengan mengarahkan hukuman dijalankan berasingan bermula hari ini.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.