KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri pada penghujung bulan ini dijangka panas apabila salah satu usul yang akan dibentangkan adalah berkaitan usaha mengembalikan status “rakan kongsi” penubuhan Malaysia seperti yang dipersetujui pada Perjanjian Malaysia 1963.
adenan-rakan-kongsiKetua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, usul itu akan berusaha untuk mengembalikan hak dan kepentingan Sarawak yang sebelum ini semakin terhakis.
“Status Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’ Persekutuan Malaysia perlu dikembalikan kerana penurunan statusnya kepada sebuah ‘negeri’, yang terjadi pada 1976 tidak harus berlaku.
“Oleh itu, sekarang adalah masa yang amat sesuai untuk membentangkan usul terbabit secara komprehensif, termasuk mengupas kesemua hak dan keistimewaan yang harus dinikmati negeri ini seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Persekutuan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Projek Pembangunan Lapangan Minyak E6 Sarawak Shell Berhad dan Brooke Dockyard & Engineering Works Corporation, di sini pagi tadi.
Mengulas lanjut, Adenan berharap kepemimpinan Pusat perlu memberikan perhatian terhadap usul berkenaan.
“Sebelum ini, mereka (Parlimen) pada 1976 telah melakukan perubahan dengan menukar status Sabah dan Sarawak sebagai negeri ke-12 dan ke-13 dalam Persekutuan Malaysia.
“Kita mahu status asal diberikan kembali kepada negeri ini seperti yang dipersetujui pada 1963,” katanya.
Adenan menambah, usul berkenaan dijangka menyentuh hal berkaitan Akta Laut Wilayah yang secara automatiknya tidak lagi terpakai di negeri ini selepas Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969, yang menyentuh persempadanan perairan wilayah Malaysia dimansuhkan lima tahun lalu.
Persidangan DUN Sarawak bagi mesyuarat kedua bagi penggal pertama berlangsung bermula 21 hingga 30 November ini.
Kata Adenan lagi, Kerajaan Negeri juga dijangka akan mengemukakan usul khas berkaitan kawal selia industri minyak dan gas di Sarawak, terutama di Miri dan Bintulu.
“Ia mungkin dibentangkan pada persidangan DUN bulan ini atau tahun depan,” katanya.