MUKAH: Sembilan suspek dari Miri berkaitan siasatan kes bunuh di Ulu Sungai Arip, Balingian, Mukah dilanjut tempoh reman selama dua hari oleh Mahkamah Majistret Mukah di sini, pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau, tahanan reman bagi sembilan suspek dari Miri dilanjut hingga Sabtu (5 November 2016).
“Mereka (sembilan suspek) mendapat reman (lanjut) untuk dua hari lagi,” katanya kepada Utusan Borneo.
Ia dibaca di hadapan Timbalan Pegawai Daerah Dalat Ismail Kasah untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Setelah permohonan reman untuk sembilan suspek ditolak Mahkamah Majistret Miri pada 28 Oktober lalu, mereka direman di Mukah pada hari berikutnya (29 Oktober 2016) untuk enam hari sehingga semalam.
Sementara itu, seorang lagi suspek turut dilanjutkan tempoh tahanan reman untuk enam hari (sehingga 9 November 2016) bagi siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 24 Oktober lalu, kira-kira jam 6 petang cubaan sekumpulan lelaki dikatakan merempuh sekatan di jalan masuk ke sebuah ladang menyebabkan Fabian Janti Lebau, 26, terbunuh.
Berlaku pertengkaran antara kumpulan mangsa dengan pihak melakukan sekatan sebelum mangsa ditembak dipercayai menggunakan senapang patah.
Mangsa ditemui mati dalam keadaan tertiarap di tepi jalan masuk ke ladang berkenaan ditembak di bahagian bawah rusuk kanan dan terdapat kesan tetakan di kepala.
Selain itu siasatan di tempat kejadian turut menemui dua kelongsong peluru berdekatan mayat mangsa di lokasi kejadian yang cuma kira-kira 100 meter dari tempat sekatan penduduk. - UB