Awang Raweng, 86, merupakan bekas anggota Iban Tracker, anak kelahiran Sri Aman, Sarawak dan pernah dianugerahkan pingat keberanian tertinggi Britain iaitu George Cross pada 20 November 1951.
Sehingga kini, hanya 25 penerima George Cross yang masih hidup dan mereka terdiri daripada veteran perang di seluruh dunia yang pernah berkhidmat secara langsung atau tidak langsung dengan kerajaan Britain sejak perang dunia kedua.
Di Malaysia, George Cross setaraf dengan pingat Panglima Gagah Berani (PGB).
Pingat yang dinamakan sempena King George VI itu dianugerahkan kepada Awang bagi mengiktiraf jasanya menentang kira-kira 50 komunis di hutan Kluang, Johor secara bersendirian untuk menyelamatkan beberapa tentera British yang cedera dalam satu pertempuran.
Mencerita detik cemas pada waktu itu, beliau datang ke Tanah Melayu sebagai Iban Trackers pada Disember 1950 dan diserap masuk ke dalam Rejimen Hutan Worcestershire and Sherwood yang berpangkalan di Kluang.
Ketika menjejaki komunis di hutan Kluang setahun kemudian, kumpulannya yang terdiri daripada 25 anggota diserang hendap kira-kira 50 musuh.
"Tiga orang askar British maut ditembak manakala tiga lagi cedera parah. Selebihnya berundur ke kem untuk mendapatkan bantuan meninggalkan saya seorang diri bersama rakan yang cedera.
"Saya tidak sampai hati meninggalkan mereka yang cedera parah dan memutuskan untuk terus melawan komunis menggunakan beberapa laras senapang dan grenad yang ditinggalkan rakan-rakan," katanya yang ketika itu baru berusia 22 tahun.
Menurut Awang, dia kemudiannya ternampak salah seorang askar British yang cedera di kaki sedang terbaring kesakitan dan terdedah kepada tembakan musuh.
"Tanpa berfikir panjang, saya segera keluar dari tempat persembunyian dan menarik askar yang cedera itu. Pada masa itu, saya terkena dua das tembakan, masing-masing di pangkal paha dan lengan.
"Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya terkena tembakan. Namun, saya memberanikan diri untuk terus menembak dan melempar grenad ke arah musuh bertalu-talu.
"Hampir sejam kemudian, musuh akhirnya melarikan diri. Mungkin mereka ingat kami ramai, padahal ketika itu, cuma saya seorang sahaja," katanya.
Akibat peristiwa itu, Awang dirawat di hospital selama lima bulan manakala tentera British yang diselamatkannya, Griff Hughes terpaksa dipotong kaki kanan.
Setelah 63 tahun berlalu, keberanian Awang yang secara tidak langsung mengharumkan nama negara akhirnya diiktiraf apabila dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sempena sambutan Hari Peringatan Perang Sarawak pada tahun 2011.