Pages

Wednesday 23 September 2015

Budak Pejabat dicekup


KUCHING: Polis semalam menahan seorang lelaki yang juga merupakan budak pejabat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak kerana dipercayai terlibat dalam kes rompakan sebuah kedai emas di Lebuh Carpenter di sini, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan di rumahnya di Petra Jaya oleh anggota Unit D9 (Jenayah Berat) diketuai DSP Sarifuddin Mustaffa sekitar jam 6 pagi.

Menurutnya, semasa tangkapan dilakukan, pihaknya turut menemui semula barang-barang kemas tersebut, selain merampas sehelai baju yang dipercayai digunakan suspek semasa rompakan dilaporkan berlaku.

“Suspek berjaya ditahan di rumahnya di Petra Jaya selain turut berjaya menemui semula kesemua barangan kemas yang dirompak daripada kedai emas tersebut.

“Tangan kanan suspek juga masih berbalut dipercayai tercedera semasa melakukan rompakan tersebut dan sehelai baju yang mempunyai kesan darah dipercayai dipakai suspek semasa kejadian tersebut turut dijumpai.

“Suspek merupakan ‘office boy’ (budak pejabat) di Ibu Pejabat Polis yang terletak di Jalan Badruddin di sini,” katanya dalam kenyataan akhbarnya, semalam.

Bagaimanapun, menurut Dev, sepana yang digunakan suspek untuk memecahkan ruang pameran barang kemas tersebut masih belum ditemui, di mana suspek dikatakan membuangnya ke dalam sebuah kolam di Petra Jaya.

“Polis akan menghantar anggota dari Unit Penyelam ke sebuah kolam ikan di Petra Jaya, di sini untuk mencari sepana yang dipercayai digunakannya dalam rompakan itu,” jelas Dev.

Justeru, rakan subahat suspek juga berusia 30 tahun turut berjaya diberkas pihak polis di rumahnya di Kampung Gita sekitar jam 10 pagi semalam.

“Selain itu, sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam rompakan itu turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Pada kira-kira jam 4.30 Sabtu lepas, suspek yang lengkap bertopi keledar menyerbu masuk sebuah kedai emas di Lebuh Carpenter dan melarikan sejumlah barang kemas selepas memecahkan cermin ruang pameran barang kemas itu.

Katanya, suspek yang cedera di tangan kanan semasa melakukan rompakan tersebut kemudian melarikan diri dengan membonceng motosikal rakannya yang menunggu di luar kedai.

“Kami menganggap kes ini berprofil tinggi kerana rompakan kedai emas jarang-jarang sekali berlaku di Sarawak,” kata Dev.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya turut mengucapkan tahniah kepada anggota polis Sarawak atas kejayaan menyelesaikan kes berkenaan.

--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment