Pages

Monday 3 August 2015

Tol Jambatan Tun Salahuddin diharap dihapuskan


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berharap rundingan bersama syarikat yang mengendali operasi kutipan tol di Jambatan Tun Salahudin di sini, akan membuahkan hasil yang baik menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, syarikat berkenaan perlu mencontohi usaha syarikat konsesi Jambatan Lanang di Sibu memansuhkan tol demi kepentingan rakyat.

“Sekarang, tinggal satu lagi tol iaitu tol Jambatan Tun Salahuddin belum dimansuhkan.Saya harap dapat keputusan bagus sebelum hujung tahun ini,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Pusat Sumber Tun Openg, Kampung Bandarsah di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof serta Pengerusi Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Abdul Rahman Zainuddin.

Meskipun baharu memimpin negeri ini dalam tempoh setahun tiga bulan, banyak langkah positif telah diambil oleh Adenan seperti penurunan tarif elektrik, penghapusan tol, pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas perkhidmatan pihak berkuasa tempatan dan penyeragaman caj feri kepada RM1.

Adenan pada masa sama turut menyeru agar diberi mandat selama lima tahun lagi untuk meneruskan agendanya sebelum mengundur diri daripada politik.

“Walaupun dalam masa singkat ini, banyak yang kita dapat capai.

“Sebab itu, saya minta tempoh lima tahun lagi agar kita dapat mengecapi lebih banyak kejayaan untuk negeri ini,” katanya.

Mengenai tuntutan royalti minyak agar dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus, Adenan mengakui ia belum dapat ditunaikan namun beliau akan terus memperjuangkan permintaan tersebut sehingga ia dipenuhi.

“Minyak di Miri dan Bintulu milik kita. Kalau yang di Terengganu dan Pahang, itu saya tidak peduli, tetapi ini di Sarawak maka saya akan ambil kisah,” katanya.

Setakat ini katanya, Petronas bersetuju untuk memberi syarikat industri minyak dan gas di Sarawak kontrak berjumlah RM2 bilion selain berbelanja demi kebajikan sosial negeri ini seperti menubuhkan sekolah.

Adenan terdahulu turut melawat kediaman tempat beliau membesar di Kampung Bandarsah.

Beliau turut memperuntukkan RM100,000 kepada Pertubuhan Anak Seni.

Pertubuhan itu turut menerima peruntukan sebanyak RM300,000 daripada Abang Johari bagi membeli sebidang tanah.

Menurut Abang Johari, beliau berbesar hati apabila pertubuhan itu berjaya menghidupkan semula kumpulan muzik yang amat terkenal suatu ketika dahulu.

“Malah, kumpulan muzik polis Sarawak diterajui oleh salah seorang ahli dari kampung ini, di mana beliau merupakan orang tempatan pertama mengetuai kumpulan muzik pasukan polis selepas orang British,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari turut melahirkan harapan agar Adenan terus memimpin negeri ini dalam lima tahun akan datang.

“Kita harap, beliau yang mengutamakan rakyat akan terus memimpin kita,” katanya. -UB
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment