BINTULU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Tatau dalam kejadian pada jam 4.48 petang Isnin lalu dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan selamat di sungai berkenaan sekitar jam 9.35 pagi semalam.
Mangsa yang merupakan warganegara Indonesia dikenali sebagai Suparat, 32, bekerja dengan sebuah syarikat di Sungai Nyigu di sini dilaporkan hilang selepas terjatuh ke Sungai Tatau dari atas sebuah tongkang.
Pasukan SAR melakukan tugas pencarian mangsa merangkumi kawasan Tatau hingga ke Kuala Tatau dan tidak diketahui bagaimana mangsa terselamat selepas terjatuh ke sungai terbabit dan terkandas di situ sejak Isnin lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Pegawai Bomba Tinggi Azrel Izaidi Ahmad yang mengetuai operasi SAR berkata, mangsa ditemui pasukan penyelamat berdekatan dengan Samling Logpond di Kuala Tatau.
Menurutnya, semasa sedang melakukan operasi SAR, mereka terlihat seorang lelaki duduk di tebing sungai sambil melambai meminta tolong.
Katanya, mangsa yang ditemui dalam keadaan lemah dibawa dengan bot penyelamat bomba ke Tatau dan setibanya di Tatau, mangsa dibawa dengan ambulans ke Klinik Tatau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.48 petang Isnin lalu daripada Polis Tatau mengenai seorang lelaki warganegara Indonesia yang terjatuh ke sungai.
Susulan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau telah mengerahkan lima anggotanya diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mamat Rhayi bersama sebuah pacuan empat roda dan sebuah bot untuk tugas-tugas menyelamat.
Lokasi kejadian dari BBP Tatau ialah tiga kilometer dan jentera pertama tiba pada petang hari yang sama. Operasi SAR mangsa pada hari pertama ditangguhkan pada jam 6.40 petang dan disambung semula keesokannya sehinggalah pasukan SAR berjaya menemui mangsa pagi semalam. -UB