Pages

Wednesday 29 July 2015

Projek menaik taraf jalan raya di Bukit Paip terbengkalai


PAKAN: Hasrat penduduk dua rumah panjang, Rumah Lau dan Rumah Saban di sini serta warga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kota menikmati sistem perhubungan lebih selesa dan sempurna terbantut dan berada dalam kebuntuan.

Ini kerana salah satu projek menaik taraf jalan raya di kawasan terbabit terbengkalai dan ditinggalkan oleh pihak bertanggungjawab tanpa sebarang perkembangan susulan.

Tuai Rumah Lau berkata, pada mulanya penduduk kawasan terbabit gembira dan teruja apabila mendapat khabar dan dimaklumkan bahawa Jalan Bukit Paip dinaik taraf kepada jalan bersimen.

“Kegembiraan itu bertambah apabila kontraktor berkaitan telah menghantar bahan binaan jalan menuju ke dua rumah panjang.

“Namun, lokasi penghantaran bahan binaan seperti pasir, batu serta beberapa bahan binaan lain diletakkan di Bukit Sawit bukan di Bukit Paip seperti dimaklumkan.

“Situasi itu mengelirukan penduduk apabila kontraktor memulakan kerja menyimen jalan di Bukit Sawit.

“Bagaimanapun, jalan yang disimen itu hanya sepanjang 12 kaki dan pihak terbabit tidak lagi kelihatan di lokasi itu sehingga hari ini,” katanya di sini semalam.

Menurut Lau, penduduk dan warga SK Nanga Kota mengharapkan kerja menaik taraf jalan itu dijalankan dengan segera memandangkan ia begitu sukar dilalui kenderaan sekiranya hujan dan jalan licin kerana basah.

Katanya kerja pembinaan di kawasan terbabit dijalankan pada penghujung Jun lalu.

Sementara itu, seorang penduduk dikenali Jimbau berkata, penduduk ada mendengar spekulasi mengatakan projek itu dipindahkan ke lokasi lain.

“Perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dan kami berharap hanya khabar angin sahaja.

“Berdasarkan maklumat yang tersebar di kalangan penduduk di sini, kontraktor terbabit tidak mampu meneruskan kerja pembinaan kerana kos ditender tidak mampu menampung kos sebenar.

“Menurut khabar angin kos pembinaan diperuntukkan ke lokasi tersebut telah dipindahkan ke lokasi lain.

“Penduduk berharap jalan yang menjadi nadi utama perhubungan penduduk di sini dapat diberikan nafas baharu dengan menaik taraf ke peringkat lebih selesa dan berkualiti,” katanya.

--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment