Pages

Wednesday 29 July 2015

Kuching Bandaraya pertama mendapat gelaran ini



KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan mengumumkan bandaraya Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan pada 1 Ogos depan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai semalam pada sidang media sambutan Hari Bandar Raya Kuching.

“Pegisytiharan bandaraya Kuching sebagai sebuah bandaraya perpaduan adalah hasil cetusan idea dan kajian oleh pihak Yayasan 1Malaysia yang melambangkan ciri-ciri perpaduan,” katanya.

Beliau kemudian menambah, ia sekali gus membuktikan pentadbiran kerajaan negeri sentiasa komited memenuhi kriteria dan jusfikasi terutama dari segi menerima kepelbagaian budaya, persefahaman dan keharmonian.

Pada majlis yang sama, logo yang bertemakan ‘Kuching… Bandaraya Perpaduan’ akan turut dilancarkan.

Bandaraya Kuching merupakan yang pertama di Malaysia yang diberi gelaran tersebut selepas kajian terperinci yang dijalankan pihak Yayasan 1Malaysia sebelum ini.

Tidak dilupakan kata Abang Wahap, bahawa golongan remaja amat penting dalam mengukuhkan negara dan menjadi pendukung kepada tanggungjawab serta hala tuju negara.

“Tanpa golongan remaja, pembangunan negara akan tempang dan terbantut maka di tangan merekalah terletak satu tanggungjawab besar bagi memajukan negara,” jelasnya.

Pada masa yang sama, sempena sambutan Pesta Kuching pelbagai aktiviti telah dirancang untuk orang ramai.

Pihaknya turut menjemput orang ramai menyertai Pasar Lambak DBKU, program ‘City Day Fun Ride’, Pesta Macam-Macam Laksa dan Festival Tarian Tradisional Sarawak.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi talian 082-446688.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan. -UB



--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment