Pages

Wednesday, 8 July 2015

Lelaki ditemui mati di ladang kelapa sawit



SEBAUH: Panggilan ngeri daripada lelaki tidak dikenali menjadi realiti buat seorang wanita apabila suaminya ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan simpang Jalan Sebauh di sini sekitar jam 1 petang semalam.

Mayat mangsa yang hanya dikenali dengan nama Agus, dari Indonesia dan berumur dalam lingkungan umur 30-an ditemui oleh rakan-rakannya sendiri yang diarah oleh isterinya untuk mencari beliau di kawasan ladang kelapa sawit berdekatan.

Sejurus ditemui, mereka menghubungi pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Terdahulu pada Ahad, 5 Julai lalu, Agus dikatakan menunggu bas di perhentian bas simpang Sebauh untuk pergi ke Terminal Bas Medan kerana ingin pulang ke Indonesia.

Difahamkan pada hari sama, isteri mangsa turut menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa suaminya tidak akan pulang ke Indonesia lagi kerana sudah dibunuh olehnya.

Isterinya yang bimbang dengan keselamatan suaminya terus meminta bantuan rakan-rakan suaminya untuk mencari beliau di kawasan sekitar sehinggalah mereka menjumpai mayat mangsa di kawasan ladang kelapa sawit berdekatan.

Menurut sumber, terdapat saksi yang melihat mangsa telah dihampiri oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika sedang menunggu bas di perhentian bas berkenaan.
Tidak lama kemudian, menurut sumber, beliau melihat lelaki bermotosikal itu bertindak mengejar mangsa yang berlari ke kawasan ladang berkenaan.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi pemeriksaan lanjut. - UB
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment