KUCHING: Pesta Makanan yang menjadi tumpuan utama dalam Festival Kuching akan kembali pada skala lebih besar tidak lama lagi dengan kepelbagaian sajian untuk orang ramai.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan berkata, kali ini terdapat penambahan sebanyak 100 buah tapak lagi, menjadikan jumlah keseluruhan 228 gerai makanan.
“Pesta Makanan Festival Kuching akan datang bakal menampilkan lebih banyak makanan.
“Sebelum ini, kebanyakan gerai menumpukan makanan ala Taiwan namun kini, para pengunjung juga berpeluang menikmati makanan Barat selain makanan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penerimaan Tajaan RM40,000 daripada Magnum 4D (Malaysia Timur) Sdn Bhd untuk Pesta Makanan di bangunan MBKS di sini, semalam.
Hadir sama, Pengurus Magnum 4D Negeri Suy Kok Yik dan Pengerusi Pesta Makanan Festival Kuching Tan Kay Hok.
Chan pada masa sama turut menggalakkan golongan belia untuk merebut peluang menyertai gerai makanan dalam festival tersebut.
Menurutnya, ia merupakan landasan yang baik lagi sesuai untuk berjinak-jinak serta mencuba kemahiran dalam bidang perniagaan.
“Golongan belia boleh mencuba bakat dalam berniaga dengan membayar sewa gerai yang minimum memandangkan selebihnya ditaja Magnum.
“Saya yakin penyertaan daripada golongan tersebut meningkat tahun ini, berdasarkan respons menggalakkan pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Festival Kuching kali ini dijangka lebih meriah apabila penghibur dari Asia Timur seperti dari Jepun akan membuat persembahan dram tradisional, Korea (tarian tradisional) dan China (nyanyian opera).
Mereka akan membuat persembahan selama tiga malam, bermula 31 Julai pada malam pembukaan acara berkenaan.
Sementara itu, Suy berkata, syarikat itu akan terus memberi sokongan berterusan khasnya dalam bentuk tajaan program tersebut kepada MBKS dari semasa ke semasa.
“Ia bukan sahaja untuk kesejahteraan masyarakat malah dalam memantapkan sektor pelancongan di bandar raya berjiwa ini,” katanya.
Manakala Tan memberitahu, pihaknya menerima respons memberangsangkan dari segi penyertaan dalam gerai makanan dalam program berkenaan.
“Kami mahu memberi peluang kepada penjaja khasnya belia untuk berniaga dan kami menjangka dapat menarik hampir 700,000 pengunjung sepanjang 24 malam tersebut,” katanya. -UB