KUCHING: Gara-gara dituduh mencuri barang penduduk kampung, seorang lelaki cedera dibelasah di Kampung Bintawa Tengah di sini sebelum diserahkan kepada pihak polis, malam kelmarin.
Insiden dilaporkan berlaku apabila suspek yang berusia 20-an baharu pulang ke rumahnya selepas dikatakan bersembunyi daripada pihak polis sekitar jam 8 malam.
Menurut sumber, penduduk kampung yang menyedari kehadiran suspek terus menangkapnya sehingga berlaku pergelutan di antara suspek dan penduduk kampung menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pihak polis.
“Anggota polis segera ke tempat kejadian dan menemui suspek terbaring di atas jalan raya sambil diawasi oleh penduduk kampung,” kata sumber.
Suspek kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
Sementara dalam kejadian berasingan, seorang ibu membuat laporan polis semalam selepas mendakwa anaknya sering mengamuk dan mengugut membunuh semua ahli keluarganya.
Kejadian dilaporkan berlaku di Taman Sukma, di sini apabila suspek yang berusia 27 tahun tiba-tiba mengamuk dan merosakkan barang-barang di dalam rumah sekitar jam 7 pagi.
“Selain itu, suspek juga menumbuk adik serta bapanya selain turut mengugut akan membunuh keluarganya menyebabkan ibunya terpaksa melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis,” kata sumber.
Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan. -UB
