KUCHING: Bandar raya ini dipilih sebagai venue bagi sambutan Hari Kebangsaan 2015 dan pengibaran Jalur Gemilang yang diadakan pada 8 Ogos depan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sambutan yang bertemakan ‘Malaysia #Sehati Sejiwa’ itu dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Tema ini bermakna untuk memperkukuhkan lagi semangat keakraban dan kesatuan rakyat Malaysia keseluruhannya merangkumi Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah, bahawa kita bergerak sama membina negara.
“Mengenai logo yang diperkenalkan (kepada Ketua Menteri) ia seperti peta menggambarkan penyatuan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak di bawah satu negara tetapi berada dalam satu hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan dan merasmikan Logo Hari Kebangsaan 2015 bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Ahmad Shabery menjelaskan bahawa mulai tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan tidak lagi disebut berdasarkan ulang tahun sebaliknya mengikut tahun.
“Misalnya pada kali ini kita menyebut sambutan Hari Kebangsaan 2015 tanpa menyebut ulang tahun seperti ke-58 atau ke-59.
“Ini kerana selagi kita menyebut ulang tahun mengenainya, ia menggambarkan sambutan yang dikaitkan dengan Semenajung Malaysia sahaja,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai persiapan sambutan, Ahmad Shabery berkata ia berada dalam keadaan lancar dan bandar raya Kuching bakal meriah sempena sambutan nanti.
Beliau berkata kementerian menggalakkan semua pihak bersama mengibar dan menggantung Jalur Gemilang di samping usaha kerajaan negeri dan pusat.
Malahan ujarnya, pengusaha hotel dan restoran digalak menghiasi premis mereka dengan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015.
“Kita juga menggalakkan hotel dan restoran untuk mengadakan tawaran istimewa sama seperti bufet Ramadan, di mana mereka mungkin boleh mengadakan Jamuan Hari Kebangsaan dan sebagainya.
“Namun yang pentingnya adalah bangunan atau kedai mereka mesti dihiasi dengan Jalur Gemilang bagi menaikkan lagi semangat perpaduan sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini,” katanya.
Mengenai memainkan lagu kebangsaan Negaraku di pawagam-pawagam, Ahmad Shabery berkata, ia akan diteruskan seperti biasa dan berharap tidak akan menjadi isu lagi oleh ahli politik pembangkang.