![]() |
SARANG TIKUS: Keadaan bilik tidur yang menjadi stor sampah. |
Tabiat suka membawa pulang barangan lusuh ke rumah sejak lebih 30 tahun seolah-olah sebati dalam hidup beliau, akibatnya keadaan rumah yang diberikan kerajaan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) begitu menyedihkan.
Meskipun tindakan tersebut mengundang rasa kurang selesa dan loya kepada mereka yang mengunjungi kediamannya, tetapi Hidup tampak pasrah dengan suratan hidupnya.
Saudara terdekat dan jiran tetangga sudah kerap menasihatinya agar tidak membawa pulang barangan lusuh dan terpakai, tetapi kata-kata mereka tidak dipedulikan.
Sebelum menerima bantuan PBR pada 2011, Hidup yang dikenali sebagai Kubak oleh penduduk tempatan dan isteri tinggal di sebuah rumah kayu setingkat di kawasan sama.
![]() |
MENYEDIHKAN: Lusi (kiri) baring di bilik tidur rumah PBR mereka. |
Mendiami rumah baharu sejak lebih lima tahun lalu bagaimanapun tidak membawa perubahan terhadap hidup mereka, malah pelbagai program amal dan gotong-royong dilaksanakan oleh agensi kerajaan, NGO dan pihak swasta untuk membersih rumah mereka gagal menamatkan hobi Hidup.
Lebih menyedihkan, tiga bilik tidur di rumah PBR yang sepatutnya menjadi tempat beradu bertukar menjadi stor sampah akibat longgokan barang lusuh yang terlalu banyak.
Malah, keadaan ruang tamu dan bahagian dapur juga dipenuhi sampah sarap menyebabkan keadaan yang kurang selesa, kotor dan berbau busuk. Pasangan warga emas itu juga berdepan risiko masalah pembiakan tikus, serangga berbahaya dan haiwan berbisa.
Isteri Hidup, Lusi yang hanya terlantar di bilik tidurnya juga tidak mampu bangun sekali gus tidak berupaya untuk membersihkan rumah.
Minat mengumpul barang lusuh sejak sekian lama mungkin dipengaruhi oleh pekerjaan Hidup sebagai pengutip sampah di bawah pihak berkuasa tempatan sebelum beliau pencen.
Keadaan hidup pasangan yang menyedihkan itu mendapat simpati Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Skuad Sayang Bukit Kota dan ahli sukarelawan semalam. Mereka mengunjungi kediaman Hidup dan isterinya untuk mengadakan gotong-royong membersihkan kediaman mereka.
![]() |
BERTANYA KHABAR: Monir melawat Hidup (kanan). |
Selain membersihkan rumah, JKM turut menyerahkan bantuan berupa kelengkapan tidur dan makanan.
Terdahulu, JKM turut menghantar Lusi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan di hospital kelmarin. Wakil Pegawai JKM Limbang Monir Besar berkata program amal gotong-royong diadakan sempena menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, selain memberi keceriaan kepada pasangan warga emas itu.
“Sebelum ini, kita banyak mengadakan aktiviti kebajikan dan sosial ke rumah Hidup dengan kerjasama pelbagai pihak untuk membantu membersihkan rumah dan menyalurkan bantuan,” katanya ketika ditemui semalam.
Monir berkata program lain yang dijalankan sebelum ini termasuk Program Lawat, manakala Program Bantu Rumah (Home Help) bakal diadakan seminggu sekali ke rumah Hidup bermula minggu depan.
Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Skuad Sayang Bukit Kota Limbang Norni Marlini Abdullah, Penghulu Abdul Karim Awang Damit, ahli jawatankuasa Skuad Sayang Bukit Kota, penduduk kampung dan sukarelawan JKM.