DARO: Tangki air aras tinggi yang dalam proses pembinaan di Kampung Penipah, Pulau Bruit dekat sini semalam runtuh di bahagian lantai ketika proses percubaan mengisi air.
Bagaimanapun sumber memberitahu, tiada kemalangan jiwa dalam insiden yang berlaku petang semalam membabitkan tangki bagi membekalkan air bersih ke Kampung Penipah, Tekajong dan Bruit.
Kerosakan itu menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol kecewa apabila projek itu diharapkan dapat disiapkan cepat oleh kontraktor.
“Saya harap JKR sebagai agensi pelaksana dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.
“Saya telah dimaklumkan oleh penduduk kampung mengenai perkara ini dan serta-merta menghubungi JKR untuk mendapat laporan daripada mereka,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, jurucakap JKR Sibu berkata tangki air itu kini dalam proses percubaan oleh kontraktor pelaksana projek.
Ketika bahagian lantai tangki itu runtuh, ia dalam proses diisi air, katanya.
Bagaimanapun beliau memberitahu bahawa beliau belum dapat memastikan bila kontraktor dapat mengatasi masalah tersebut.
“Saya baharu menerima laporan mengenai insiden itu dan akan menelitinya. Saya kini berada di Kuching,” katanya. UB
