Rangkaian jalan raya Pan Borneo yang
menghubungkan Sarawak, Brunei dan Sabah kini siap 93 peratus dengan
selebihnya masih dalam proses pembinaan, kata Timbalan Menteri Kerja
Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Menurut beliau, jalan raya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer
bermula dari Sematan di bahagian barat Sarawak melalui bandaraya
Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri, Limbang, Lawas,
Kota Kinabalu, Sandakan dan seterusnya ke Tawau, Sabah.
"Keseluruhan jalan raya ini telah berturap dan sepanjang 248.65
kilometer mempunyai tahap empat lorong atau enam lorong manakala bakinya
masih ditahap dua lorong, ini tidak termasuk missing link sepanjang
50 kilometer dari Kalabakan, Sabah ke Serudong, Kalimantan yang masih
dalam proses pembinaan," katanya pada majlis taklimat media mengenai
Jalan Raya Pan Borneo di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan
Kementerian Kerja Raya Mohd Azlan Mon Jamaluddin dan Ketua Penolong
Pengarah Jalan Raya Sabah Ali Ahmad Hamid.
Rosnah berkata, bagi tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM89
juta untuk melaksanakan program membaik pulih Jalan Raya Pan Borneo
iaitu RM41.8 juta bagi negeri Sabah dan RM47.2 juta bagi negeri Sarawak
di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.
sumber : BERNAMA
p/s : Harap-harap ini bukan Lebuhraya Pan Borneo.
