Di masa peperangan antara orang Islam dengan orang-orang kafir
Kristian yang dikenali dengan perang Salib dan telah berlangsung sekian
lama. Kemenangan dan kekalahan silih berganti pada kedua belah pihak.
Umat Islam berjuang dengan habis-habisan menentang musuhnya. Segala
kekuatan dikerahkannya. Kerana pada waktu itulah kesempatan yang paling
baik untuk memperolehi syahid di medan perang sebagaimana yang
diperolehi para sahabat Rasulullah dalam perjuangan menentang orang
kafir yang cuba melenyapkan Islam.
Raja-raja dari semua kerajaan Islam memberikan sokongan padu kepada
setiap panglima perang yang tampil memimpin para pahlawan Islam
menentang kaum kafir Kristian yang datang dari Eropah. Salah seorang
raja yang banyak jasanya dalam perang Salib ini adalah Sultan Nuruddin
Zangki (Zenggi), keturunan bangsa Kurdi dan berkedudukan di Mosul.
Baginda yang diputerakan tahun 1118 Masihi dan wafat 1174 Masihi, adalah
seorang raja yang terkenal taqwa, wara’ dan adil. Kerana keadilannya
pula hingga digelari Malikul Adil (Raja yang adil). Pada waktu malam
baginda bangun untuk solat tahajjud dan berdoa agar rakyatnya hidup
bahagia dalam keredhaan Allah dan terselamat di akhirat nanti. Pada
sebelah siang beliau banyak berpuasa dan selepas solat, wiridnya
sentiasa panjang.
Seluruh kekuatan yang dimilikinya adalah untuk menentang serangan
tentera Salib agar tidak dapat menjajah negara Islam. Beliaulah yang
membentangkan jalan kepada Shalahuddin Al-Ayyubi, panglima perang Salib
di pihak Islam yang telah berjaya membebaskan bumi Palestin dari
cengkaman kaum Salib. Baginda sentiasa tenang dan gembira melayan semua
rakyat dan menteri-menterinya, sekalipun negara dalam keadaan darurat
perang, kerana beliau sudah bermimpi berjumpa Rasulullah SAW pada suatu
malam. Dalam mimpi itu Sultan Nuruddin melihat Rasulullah dalam keadaan
gembira, menandakan perjuangan kaum Muslimin yang dipimpinnya dalam
berjihad akan berhasil.
Selanjutnya, suatu hari Malikul Adil kelihatan tidak seperti
biasanya, kali ini baginda nampak sangat risau, seolah-olah ada yang
tidak kena pada dirinya. Menteri-menterinya menyedari hal ini, namun
mereka tidak berani bertanya. Kerisauan dan kegelisahan tersebut
berpunca daripada mimpinya beberapa malam yang lalu. Mimpi itu sangat
mengerikan dan sukar ditafsirkan. Dalam mimpi itu, baginda memakai baju
yang cantik gemerlapan dan berada di hadapan Rasulullah. Rasulullah
memegang tangan Nuruddin dan menunjuk kepada dua orang lelaki yang
berada di hadapannya dan bersabda: “Kenalilah aku. Bebaskan aku dari dua
orang itu!” Nuruddin terbangun, namun wajah Rasulullah dan dua orang
lelaki itu kelihatan jelas di hadapannya seperti bukan mimpi. Wajah
kedua lelaki itu kelihatan kemerah-merahan.
idak seorang pun yang diberitahu tentang mimpi itu, dan beliau yakin
bahawa yang datang itu benar-benar Rasulullah SAW. Kerana beliau sendiri
telah bersabda: “Siapa yang melihat aku dalam mimpi, samalah ertinya
dengan melihat aku di waktu bangun, kerana syaitan tidak akan dapat
menyerupai aku.” Keyakinan Raja Nuruddin akan kesahihan mimpinya itu
dikuatkan lagi oleh mimpinya yang dahulu sehubungan dengan peperangan.
“Ketika itu Rasulullah kelihatan sangat gembira sekali. Tapi mengapa
kali ini baginda kelihatan amat sedih? Dan siapakah gerangan dua lelaki
yang ditunjuk oleh Rasulullah itu? Mimpi ini berulang dehingga tiga
kali.
Selepas solat Subuh di pagi hari Raja Nuruddin memanggil seorang
menteri kepercayaannya, Jamaluddin Al-Mushly. Lelaki itu sangat wara’,
taqwa dan amanah seperti Rajanya juga.
“Engkau adalah orang yang paling ku percaya untuk menyimpan rahsia
negara selama ini. Oleh kerana itu aku tidak merasa ragu lagi
menceritakan mimpiku padamu,” kata Raja kepada Jamaluddin dan
menceritakan mimpi yang dialaminya. Jamaluddin mendengarkan dengan
serius. Ia sendiri turut merasa gerun mendengarkan cerita Rajanya.
Kemudian Jamaluddin berkata: “Ini memang betul-betul mimpi yang benar
wahai tuanku, kerana syaitan tidak akan dapat menyerupai Rasulullah.
Menurut pendapat hamba, ada rancangan jahat dari orang tertentu yang
ditujukan kepada Rasulullah, dan Rasulullah tidak menyenanginya. Tuanku
diberi tugas untuk menggagalkan rancangan jahat tersebut.”
Nuruddin seolah-olah dikeluarkan dari kebuntuannya setelah mendengar tafsiran daripada Jamaluddin.
Baginda raja telah berangkat sendiri ke Kota Madinah bersama menteri
yang sangat dipercayainya dan pengikut-pengikutnya. Setelah sampai
baginda raja telah singgah mengerjakan solat di masjid Quba’, rombongan
diraja menuju ke taman Raudhah. Di taman yang mulia inilah jenazah yang
teramat mulia Rasulullah SAW bersemadi. raja berdoa dengan penuh khusyuk
di taman Raudhah, kemudian datang petunjuk dari Allah seolah-olah
beliau dapat menyingkap tafsir mimpinya itu di kota mulia tempat
bersemayamnya Rasulullah SAW. Oleh kerana Raja Nuruddin ingin segera
mengetahui makna mimpinya yang menakutkan itu, lalu beliau memanggil
gabenor Madinah dengan berkata: “Saya mahu kamu kumpulkan kesemua
penduduk Madinah tanpa ada sesiapa pun yang dikecualikan, saya ingin
bersalaman dengan mereka.” Berkata gabenor Madinah: “Baik tuanku, segala
titah raja akan dijalankan.” Gabenor Madinah pun segera menyampaikan
pesanan raja kepada penduduk Madinah dan penduduk yang berhampiran
dengan kota Madinah. Maka keluarlah semua penduduk Madinah untuk bertemu
dengan baginda raja.
Setelah baginda Raja sampai di tempat dewan orang ramai, maka baginda
pun memandang kepada rakyat sebagai penghormatan. Mata Raja Nuruddin
sentiasa mencari-cari wajah yang menjadi buruannya, tetapi tidak juga
kelihatan. Raja Nuruddin semakin risau, beliau duduk sekejap dan
berbincang dengan pegawai-pegawai dari Madinah. Berkata Raja, Nuruddin:
“Apakah masih ada rakyat yang melepaskan peluang untuk bertemu dengan
saya? Cuba siasat sekali lagi.” Kemudian para pegawai dari kota Madinah
berbincang sesama mereka, mereka cuba mengingati wajah-wajah yang tidak
hadir. Tiba-tiba seorang pegawai berkata dengan serius dan bersemangat:
“Betul tuanku, hamba ingat masih ada dua orang kenamaan di Madinah yang
tidak hadir di sini, mungkin kedua mereka tidak mendengar berita tentang
ketibaan baginda tuanku ke sini.”
Raja Nuruddin berkata: “Di mana mereka berada, dan siapakah mereka
itu?” Denyutan jantung Raja Nuruddin semakin cepat, tetapi beliau
menahan perasaannya. Orang yang mengenali kedua lelaki itu berkata:
“Mereka berdua adalah ahli tasawwuf dan ahli hikmah, sangat wara’ dan
sangat banyak ibadahnya, sesiapa sahaja yang pergi kepada mereka akan
menerima fatwa-fatwa yang menyejukkan dan menerima sedekah. Dan kedua
mereka juga adalah dermawan dan telah banyak sekali membantu fakir
miskin.” Raja Nuruddin sangat tertarik dengan huraian pegawainya dan
beliau berkata: “Saya ingin sangat untuk bertemu dengan kedua mereka,
jemputlah mereka sekarang juga.”
Tidak berapa lama kemudian kedua mereka itu pun datang ke dewan orang
ramai setelah diundang. Kedua mereka berjalan dengan tunduk dan
tawadhu’, sementara mulut mereka tidak berhenti-henti berzikir kepada
Allah SWT. Apabila kedua mereka berdiri di hadapan Raja Nuruddin, Raja
Nuruddin terperanjat kerana kedua mereka itulah yang muncul dalam
mimpinya. Dalam hati Raja Nuruddin berkata: “Demi Allah orang inilah
yang datang dalam mimpiku.” Walaupun kedua mereka itu berada di hadapan
beliau, beliau belum pasti sama ada beliau bermimpi atau tidak, lalu
beliau menggosok kedua biji mata beliau dan dibukanya mata beliau
terang-terang. Ternyata kali ini beliau tidak mimpi, beliau kini berada
betul-betul di hadapan orang yang menjadi buruan beliau. Raja Nuruddin
memandang mereka dari semua segi, dari segi bentuk muka mereka, susunan
gigi, mata dan lain-lain. Akhirnya beliau meyakini dengan seratus
peratus bahawa memang sah kedua lelaki itulah yang muncul dalam
mimpinya. Kalau ikutkan hati Raja Nuruddin hendak ditanya sahaja:
“Siapakah kamu berdua ini.” Raja Nuruddin bertambah hairan melihat kedua
mereka, ini adalah kerana kedua mereka itu begitu khusyuk dan tawadhu’,
gerak-geri mereka tidak sedikit pun mencurigakan.
Segi rambut pula ikut sunnah, serban pula ikut cara Rasulullah.
Sewaktu bersalaman menunjukkan adab seorang alim dan ahli tasawwuf,
tutur katanya pula penuh hikmah dan selalu berasaskan Al-Quran dan
Al-Hadith. “Tetapi mengapa Rasulullah minta dibebaskan dari dua orang
itu? Apakah dosa yang telah diperbuat oeh keduanya? Begitulah pertanyaan
yang keluar dari hati Raja Nuruddin. Beliau hairan dan tidak tahu apa
yang hendak dibuat, namun demikian tidak seorang pun yang dapat membaca
perasaan Raja Nuruddin. Raja Nuruddin serba salah kerana orang ramai
mengenali kedua mereka sebagai orang yang alim dan menunjukkan sikap
yang penuh tasawwuf, baginda Raja juga menghormati kealiman dan
ketasawwufan mereka.
Oleh kerana Raja Nuruddin tidak dapat membuat apa-apa keputusan maka
majlis pada hari itu bersurai setelah baginda Raja bersalam dengan semua
rakyatnya seperti yang dijanjikan. Setelah majlis perhimpunan yang
pertama selesai, orang ramai pun bersurai dan mereka merasa puas hati
kerana dapat bersalam dengan Raja mereka. Gebenor Madinah merasa sangat
gembira kerana majlis itu mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan.
Satu-satunya orang yang tidak puas hati ialah Raja Nuruddin, kerana
teka-teki yang menghantuinya belum terjawab.
Selepas menunaikan solat Raja Nuruddin beristighfar dan berzikir
banyak-banyak, kemudian beliau berdoa dengan doa yang amat panjang,
dalam doa tersebut beliau meminta petunjuk yang lebih jelas dari Allah
SWT. Ketika Raja Nuruddin duduk bersendirian, lalu datang menterinya
Jamaluddin dengan berkata: “Wahai tuanku, sudahkah tuanku jumpa dengan
dua lelaki yang tuanku cari itu?” Berkata raja Nuruddin: “Ya, sudah.”
Jamaluddin bertanya: “Yang mana satu tuanku?” Berkata Raja Nuruddin:
“Jemputan yang terakhir sekali, saya pasti itulah orang yang ditunjuk
oleh Rasulullah SAW dalam mimpiku.” Jamaluddin diam sambil
mengangguk-anggukkan kepalanya, pertanda dia sedang memikirkan sesuatu.
Berkata Raja Nuruddin: “Tapi yang peliknya saya tidak dapat sesuatu yang
mencurigakan pada diri mereka itu, keadaan keduanya memang seperti yang
diceritakan oleh orang. Akhlaknya, gerak-gerinya dan tutur katanya
semuanya menggambarkan keperibadian Rasulullah SAW. Inilah yang membuat
saya rasa pelik sangat, entah dosa apa yang telah mereka lakukan?”
Setelah Jamaluddin mendengar kata-kata Rajanya maka dia pun berkata:
“Tuanku, ketahuilah bahawa seseorang yang pada zahirnya menunjukkan
baik, segalanya mengikut cara Rasulullah SAW belum tentu hatinya baik.
Boleh jadi ia hanya berpura-pura supaya orang ramai tidak mencurigainya,
padahal dia adalah musuh yang jahat.”
Berkata Raja Nuruddin: “Betul katamu itu, kerana memang ramai
orang-orang kafir berpura-pura Islam, sedangkan tujuannya untuk
menghancurkan Islam dari dalam. Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran
yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang ucapannya tentang
kehidupan dunia, sangat menarik perhatianmu, dan di persaksikannya Allah
(atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia sebenarnya adalah musuh yang
jahat.”
Raja Nuruddin memang tahu tentang tipu helah orang-orang kafir yang
sentiasa hendak merosakkan Islam dengan berbagai cara. Berkata Raja
Nuruddin lagi: “Apakah yang harus kita lakukan?” Berkata Jamaluddin:
“Tuanku mestilah mengadakan perisikan ke rumah orang itu secara sulit.”
Raja Nuruddin dan menterinya Jamaluddin mengadakan perbincangan secara
rahsia tentang cara yang terbaik untuk mendapatkan maklumat tentang
pergerakan kedua lelaki yang disyaki. Setelah sekian lama mereka
berbincang akhirnya mereka mendapat satu cadangan yang baik, yakni orang
ramai dijemput untuk menghadiri rumah terbuka atas arahan Raja
Nuruddin.
Kedua orang yang disyaki juga diundang sebagai tetamu kehormat.
Rahsia ini tetap menjadi rahsia antara Raja dengan menterinya. Gabenor
Madinah diberikan tugas untuk menjayakan majlis tersebut. Setelah saat
yang dinantikan telah tiba, maka ramailah orang yang datang menghadiri
majlis tersebut. Kedua lelaki yang disyaki juga awal-awal lagi telah
berangkat menuju ke majlis diraja. Apabila Raja Nuruddin dan Jamaluddin
melihat kedua lelaki alim itu telah keluar dari rumah mereka, kemudian
Raja Nuruddin, Jamaluddin dan beberapa pengawal pergi ke rumah orang
alim itu. Kesemua bahagian dalam rumah itu di periksa oleh Raja
Nuruddin, malangnya tidak satu pun benda yang mencurigakan. Sebaliknya
dalam rumah tersebut terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang digantung
dan juga hadith nabi. Dalam almari orang alim itu dipenuhi dengan
kitab-kitab agama feqah dan juga tasawwuf, keadaan rumah itu
menggambarkan seolah-olah pewaris Nabi SAW. Hati kecil Raja Nuruddin
masih bertanya: “Apalagi yang harus aku syaki? Kenapa Baginda Rasulullah
SAW minta pertolongan dariku supaya dibebaskan dari kedua lelaki ini?”
Setelah merasa puas dengan selidikan di rumah tersebut Raja Nuruddin
mengambil keputusan untuk keluar dari rumah tersebut, tetapi apabila
baginda Raja hendak melangkah keluar dari rumah tersebut, datang ilham
yang membuat beliau teringin benar untuk melihat sebuah permaidani yang
sangat indah terbentang di sudut rumah. Raja Nuruddin merasa sangat
kagum dengan keindahan dan kehalusan permaidani yang di anggap cukup
mahal itu.
Raja Nuruddin tidak puas dengan melihat sahaja kecantikan permaidani
tersebut, tetapi beliau membelek-belek permaidani tersebut. Sewaktu
membelek permaidani itu Raja Nuruddin terlihat di bawah permaidani itu
terdapat papan dan beliau berkata: “Eh, ada papan.” Raja Nuruddin mulai
curiga tentang papan itu, lalu baginda mengangkat papan itu
perlahan-lahan, ternyata di bawah papan itu mempunyai sebuah terowong
yang mempunyai tangga. Raja Nuruddin meneliti arah perginya terowong
tersebut, akhinya beliau terkejut dan berkata: “Maasya Allah, terowong
ini menuju ke arah kubur Rasulullah SAW.” Kemudian Raja Nuruddin
mengeluarkan arahan: “Tangkap kedua orang itu.” Dengan terbongkarnya
rahsia itu maka yakinlah Raja Nuruddin akan makna mimpinya itu, kedua
lelaki yang menyamar sebagai alim itu adalah musuh yang hendak mencuri
jasad Rasulullah SAW. Dengan terbongkarnya rahsia kedua orang itu, maka
orang ramai pun datang untuk menyaksikan peristiwa di rumah orang alim
itu.
Beberapa orang telah turun ke dalam terowong yang sangat jauh itu dan
akhirnya mereka mendapati bahawa terowong yang digali oleh kedua orang
itu sudah hampir benar dekat pada jasad Rasulullah SAW. Setelah mendapat
kepastian dari orang yang masuk ke dalam terowong itu, orang ramai
tidak tahan sabar lagi. Lalu kedua-dua mereka dipukul dengan teruk
sekali, kemudian kedua mereka dibawa ke pengadilan. Dalam mahkamah
keduanya berterus terang dengan berkata bahawa kedua-dua mereka telah
tinggal di Madinah lebih dari setahun sebagai agen Yahudi. Orang-orang
Yahudi memberi perbelanjaan yang cukup banyak pada keduanya untuk tujuan
mencuri jasad Rasulullah dari kuburnya, tujuannya ialah apabila jasad
Rasulullah berada di tangan Yahudi mereka dengan mudah dapat merendahkan
martabat Kekasih Allah dan seterusnya menghina umat Islam. Umat Islam
di Madinah rasa tertipu oleh kedua orang Yahudi itu, akhirnya kedua
orang Yahudi itu dijatuhi hukuman mati.
Raja Nuruddin sujud syukur kepada Allah SWT kerana tugas yang
diberikan oleh Rasulullah SAW kepadanya telah berjaya diselesaikan
dengan berkat hidayah dan pertolongan-Nya. Untuk mengelakkan supaya
kejadian seperti itu tidak berulang lagi, Raja Nuruddin memerintahkan
supaya ke empat penjuru sekeliling kubur Rasulullah dipagar dengan
kongkrit sampai ke bawah tanah. Sebelum Raja Nuruddin berlepas dari
Madinah sekali lagi beliau bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW, kali
ini Rasulullah merangkul dan memeluk leher beliau. Apabila telah tiba
masanya Raja Nuruddin hendak meninggalkan kota Madinah, beliau memberi
taklimat terakhir kepada penduduk Madinah akan kejahatan dan dendam
orang Yahudi terhadap Islam, dendam orang Yahudi terhadap Islam akan
berterusan. Raja Nuruddin pun kembali ke Mosul dengan diiringi doa dan
air mata oleh sekalian rakyat yang mencintainya.
Wallahuallam..
Selawat dan salam ke atas junjungan kita Rasullullah SAW…