Barisan
Pembebasan Islam Moro (MILF) menolak dakwaan bekas pemimpin Barisan
Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari kononnya Kerajaan Malaysia
telah menggunakan MILF bagi memperkukuh tuntutannya ke atas Sabah dan
bertanggungjawab mendorong perpecahan di kalangan rakyat Moro.
Ketua Sekretariat MILF Mohammad Ameen berkata dakwaan itu adalah satu pembohongan dan palsu semata-mata.
"Misuari
melakukan dosa berat kerana membuat kenyataan yang tidak
bertanggungjawab dan cuai terhadap MILF dan kerajaan Malaysia," beliau
disebut sebagai berkata oleh Pusat Berita Luwaran.
Serangan lisan
terbaru Misuari itu disiarkan oleh Al-Jazeera, YouTube dan beberapa
media arus perdana Malaysia di Kuala Lumpur pada Selasa.
Ameen
mengingatkan Misuari bahawa Malaysialah yang telah menggesa pembentukan
Persidangan Perpaduan Bangsamoro (BSC) pada 2002 demi menyatukan
pelbagai puak dalam MNLF dan MILF dan menggalakkan pendirian bersama di
kalangan mereka terutama untuk berurusan dengan Pertubuhan Kerjasama
Islam (OIC).
"Bagaimana pula
Malaysia boleh menggunakan MILF bagi mengukuhkan tuntutannya ke atas
Sabah, bila Sabah tidakpun menjadi sebahagian daripada agenda rundingan
damai sejak 2001?" kata Ameen.
Ameen turut
memberitahu Misuari bahawa Malaysia tidak pernah menawarkan diri untuk
mengatur rundingan damai Kerajaan Filipina-MILF (GPH-MILF), tetapi
Presiden Gloria Macapagal-Arroyo pada 2001 yang meminta Malaysia
bertindak sebagai orang tengah antara dua pihak berkenaan setelah
rundingan diadakan semula, selepas Presiden Joseph Estrada melancarkan
perang terhadap MILF pada tahun 2000.
Presiden
Arroyo, dalam lawatan luar negaranya yang pertama sejak menjadi presiden
selepas penggulingan Presiden Estrada, telah berkunjung ke Kuala Lumpur
untuk secara rasmi meminta Malaysia mengatur rundingan damai GPH-MILF.
"Malaysia setakat memberi respon ikhlas terhadap permintaan jiran yang baik," jelas beliau.
Ameen juga
mempersoal niat Misuari yang begitu beria-ia menyokong tuntutan Sabah
sekarang sedangkan beliau tidak pernah menimbulkan isu itu sepanjang 21
tahun rundingan damainya dengan kerajaan Filipina.
Sementara
Perjanjian Damai Muktamad Kerajaan Republik Filipina-MNLF (GRP-MNLF)
pada 1996 tidak pernah merujuk kepada tuntutan Sabah. BERNAMA
