BETONG: Penduduk Parlimen Batang Lupar pasti gembira apabila sebuah lagi feri tambahan akan beroperasi menghubungkan Sebuyau-Triso bermula 2 mei lepas.
Diumumkan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, feri Sebuyau-Triso ini menghubungkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Sebuyau, Beting Maro dan Lingga.
“Penduduk-penduduk yang menggunakan feri ini terpaksa menunggu sejam setengah jika mereka terlepas kerana hanya sebuah feri yang beroperasi bagi laluan dua hala di sini, dengan laluan sehala memakan masa 40 minit.
“Ia sememangnya menyukarkan pengguna, apatah lagi muatan untuk sebuah feri terhad kepada hanya 15 buah kereta,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu semasa Majlis Kesyukuran, Hari Ibu dan Hari Pekerja Keluarga Mak Nek.
Rohani telah memanjangkan isu ini kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri dan pada minggu lalu, beliau dimaklumkan bahawa sebuah lagi feri akan dihantar ke kawasan ini bagi kemudahan penduduk di sekitarnya.
Penggunaan feri Sebuyau-Triso boleh memendekkan tempoh perjalanan dari Kuching ke Beladin daripada 5 jam kepada 2 setengah jam.
Katanya, inilah komitmen yang ditunjukkan oleh pimpinan Barisan Nasional bagi menyelami keresahan rakyat.
“Kita faham masa adalah sesuatu yang amat berharga dan kita sentiasa komited bagi membantu rakyat, terutamanya di luar bandar membaiki kehidupan mereka.”
Turut meraikan Dayang Kamadiah Abang Ludin atau Mak Nek yang usianya mencecah 100 tahun ialah Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta calon BN Dun Beting Maro, Razaili Haji Gapor.