KUCHING: Seorang lelaki bagaikan dirasuk apabila membelasah isterinya yang baharu dua bulan melahirkan anak selepas dinasihat agar mencari kerja, semalam.
Insiden dilaporkan berlaku di sebuah kampung di Jalan Astana di sini apabila si isteri, 23, menegur suaminya yang tidak bekerja sekitar jam 10.30 pagi.
Menurut sumber, suaminya yang berang selepas ditegur bertindak membelasah isterinya sehingga menyebabkan dia rebah.
“Si isteri menasihati suaminya yang masih belum ada kerja dan perkara tersebut jika berlarutan akan menyebabkan mereka sekeluarga tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.
“Nasihat itu bagaimanapun menyebabkan si suami ‘naik gila’ dan terus bertindak menumbuk dan menendang perut si isteri yang baharu dua bulan melahirkan anak mereka,” kata sumber.
Insiden itu bagaimanapun disedari oleh jiran mereka yang terus menghubungi pihak polis.
“Menyedari kehadiran polis, si suami melarikan diri dan isterinya yang hampir pengsan kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber.
Difahamkan, pasangan terbabit mempunyai dua orang anak berusia setahun serta dua bulan dan sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa masih menerima rawatan di HUS.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang wanita juga terpaksa dikejarkan ke HUS selepas dibelasah suaminya yang enggan membenarkannya pulang berjumpa dengan ibu bapanya.
Menurut sumber, insiden berlaku di Bandar Baru Samariang apabila si isteri, 20, menyatakan hasratnya untuk pulang ke rumah ibu bapanya di Jalan Sultan Tengah, sekitar jam 8 malam kelmarin.
“Mangsa ingin pulang untuk berjumpa dengan ibu bapanya namun si suami yang tidak membenarkannya pulang terus membelasah mangsa sehingga menyebabkan lebam serta pendarahan di beberapa anggota badannya,” kata sumber.
Mujur insiden tersebut disedari oleh rakan mangsa yang segera menghubungi keluarga mangsa.
“Keluarga mangsa yang tiba beberapa minit kemudian mendapati mangsa berlumuran darah dan terus mengejarkannya ke HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata sumber.
Sehingga berita ini ditulis semalam, difahamkan mangsa masih dirawat di Unit Kecemasan HUS dan laporan polis juga telah dibuat oleh keluarga mangsa.