Dua ahli parlimen BN terbabit dalam insiden helikopter hilang dalam perjalanan dari Betong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).
Lokasi terakhir kejadian dilaporkan berada di antara selatan Sebuyau dan Sri Aman dan helikopter berkenaan terputus hubungan dengan menara kawalan LTAK jam 4.32 petang dan bukannya 4.13 petang seperti laporan awal.
Helikopter itu sebenarnya berlepas pada jam 4.12 petang dari Betong dan dijangka sampai di LTAK kira-kira jam 5.20 petang.
Berikut merupakan senarai penuh mangsa yang berada dalam helikopter berkenaan:
1) Noriah Kasnon merupakan timbalan menteri perusahaan, perladangan dan komoditi - MP Sungai Besar
2) Wan Mohammad Khair-il Anuar merupakan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) - MP Kuala Kangsar
3) Asmuni Abdullah - suami Noriah
4) Surandran Ann Anamalai - Setiausaha Agung MPIC
5) Ahmad Sobri - pengawal peribadi Noriah
6) Rudolf Rex Ragas - kapten/juruterbang helikopter
![]() |
Noriah Kasnon |
Seramai 30 anggota skuad elit mencari dan menyelamat (SAR) Sarawak berpusat di Kuching serta enam aset darat telah memulakan operasi bermula jam 7 malam sebaik menerima laporan dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA) kira-kira jam 6.10 petang.
PDRM mengetuai operasi berkenaan dan tumpuan akan diberikan kepada jarak radius 10 kilometer dari lokasi terakhir helikopter berkenaan terputus hubungan komunikasi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Simunjan diarahkan untuk terus bergerak ke lokasi dipercayai helikopter itu hilang manakala orang awam memberitahu mereka tidak nampak sebarang objek di udara terhempas atau menjunam.
Menurut laporan terkini dari Sebuyau, cuaca semasa helikopter itu terputus hubungan tidak berapa baik dengan hujan dan angin kencang dilaporkan.
Setakat 11.30 malam tadi, ia masih gagal dikesan.