LIMBANG: Polis menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian seorang lelaki warga Indonesia ditemui meninggal dunia di bangunan terbengkalai di Bandar Baharu Limbang petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai , mayat Joni Parandan, 45, berbangsa Tator ditemui terlentang hanya memakai seluar dalam di bilik air tingkat bawah bangunan tersebut dengan mulut dan hidung berdarah.
Mohd Bukhori berkata, pemeriksaan awal pada tubuh mangsa mendapati tiada kesan kecederaan.
“Mayat dibawa ke Hospital Limbang dan diperiksa kali kedua di hospital terbabit, juga tidak mendapati kesan kecederaan.
“Bedah siasat terhadap mayat dijalankan dan waris akan dihubungi,” katanya di sini semalam. Beliau berkata punca kematian belum dapat dipastikan dan kes masih dalam siasatan.
Katanya bertindak daripada maklumat orang awam anggota polis bergegas ke lokasi kejadian jam 5.20 petang.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
