Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) hari ini mengeluarkan senarai terbaru 18 individu yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Komandernya DCP Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata kesemua suspek itu yang merupakan warga asing dikehendaki pasukan keselamatan negara bagi membantu menyelesaikan isu jenayah yang berlaku pada tahun lalu.
"Setelah kita teliti dan siasat termasuk mendapatkan maklumat terkini daripada rakan kita di Filipina, 18 individu ini adalah senarai terbaru dikehendaki dan disyaki terbabit dalam beberapa kes jenayah rentas sempadan yang belum ditahan dan diberkas sama ada oleh pasukan keselamatan kita mahupun pasukan keselamatan Filipina sepanjang tahun lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.