MUKAH: Pengusaha kuih tradisional Kampung Tutus Hilir memohon bantuan kerajaan untuk membaik pulih kilang memproses produk mereka kerana ia sudah terlalu uzur dan mencecah usia 40 tahun.
Salah seorang pengusaha, Syamsiah Zaffarin 31 berkata, bantuan daripada kerajaan amat diperlukan bagi memperbaiki kilang itu demi meningkatkan pendapatan penduduk setempat yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS).
“Minta kerajaan untuk lebih perihatin dan bantu kami memperbaiki kilang ini supaya dapat digunakan semua penduduk kampung,” katanya kepada Utusan Borneo ketika ditemui di kilang terbabit semalam.
Menurutnya, kilang milik bersama penduduk itu didirikan pada tahun 70-an dan hanya dibaik pulih pada tahun 90-an.
“Sesiapa sahaja boleh guna kilang dan dengan harga sewa RM10 sehari untuk memproses dan mambuat kuih,” katanya yang turut mengusahakan kuih tebaloi secara tradisional.
Bukan sahaja strukturnya kelihatan uzur, kilang berkenaan turut perlu mempunyai kemudahan baharu untuk memudahkan para pengusaha IKS.
“Antaranya adalah mesin pengadun, mesin pengukur kelapa, mesin membungkus plastik dan lain-lain lagi,” jelasnya.
Beliau mengakui IKS boleh memberi pendapatan berbaloi kepada para pengusahanya namun memerlukan bantuan dari segi kemudahan serta prasarana.
“Dengan bantuan kemudahan seperti ini salah satu cara kerajaan dapat bantu kami meningkatkan taraf hidup,” ujar Syamsiah.
Sebelum beliau dan ibunya menggunakan kilang itu untuk menghasilkan tebaloi secara tradisional, neneknya pada mulanya menggunakan kemudahan itu bersama penduduk lain. U.B