Pages

Sunday, 25 December 2016

Krismas Masa Untuk Bergembira Dan Dirayakan Bersama - Adenan

KUCHING - Perayaan Krismas adalah masa untuk bergembira dan dirayakan bersama rakan-rakan Kristian dengan penganut agama lain yang turut bersama meraikannya.

Malah, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem masyarakat di Sarawak menghantar ucapan kepada rakan-rakan mereka serta mengunjung rumah terbuka.

"Tradisi rumah terbuka adalah unik yang perlu terus disemai dan dihargai demi perpaduan dan keharmonian bagi diteruskan pembangunan di Sarawak," katanya dalam perutusan Hari Krismas dan Tahun Baharu.



Beliau berkata di sesetengah tempat di Sarawak, keluarga Kristian dan Muslim yang tinggal di bawah satu bumbung, agama bukan merupakan satu isu kerana mereka percaya "agama kamu adalah agama kamu dan agama saya adalah agama saya."

"Itulah caranya bagi kita di Sarawak sejak ratusan tahun lalu dan itulah caranya ia perlu dikekalkan di masa hadapan. Sejak akhir-akhir ini bila terdapat ketegangan sosial berhubung isu bangsa dan agama, kita di Sarawak masih bertenang dan tidak mahu diheret dalam perbincangan yang boleh membawa kepada pecah belah.

"Sejak beberapa tahun lalu, kebebasan beragama bukan menjadi halangan dan isu di Sarawak. Kita bebas beragama seperti yang kita suka, penganut Kristian bebas menggunakan kalimah Allah seperti biasa dan tidak akan ada 'hudud' di Sarawak," tegas beliau.

Adenan turut menyentuh soal ekonomi dengan berkata sudah tiba masanya Sarawak memperbanyakkan industri hiliran untuk memproses bahan mentah seperti gas asli, balak dan pasir silika kepada produk yang boleh memberi nilai tambah.

Beliau juga berkata Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) telah menarik 21 pelaburan bernilai RM33.50 bilion dan memberi 17,000 peluang pekerjaan terutama di Zon Perindustrian Samalaju di Bintulu.

Beliau berharap Lebuhraya Pan Borneo pula akan menjadi satu lagi faktor untuk menjana ekonomi Sarawak di masa depan.

Adenan seterusnya mengucapkan selamat Hari Krismas dan selamat menyambut Tahun Baru kepada semua.

"Pada musim perayaan ini, saya menyeru kepada seluruh masyarakat di negeri ini untuk meneruskan tradisi saling menziarahi rakan-rakan kita yang tidak seagama atau sebudaya dengan kita," katanya.

"Kepada masyarakat bukan-kristian, berkunjunglah ke rumah terbuka rakan-rakan kita yang beragama kristian pada musim perayaan krismas ini," ujarnya.


"Dalam kita berada di ambang meninggalkan tahun 2016 dan melangkah ke tahun 2017, saya mengajak saudara dan saudari sekalian untuk terus mengukuhkan iltizam kita untuk menyumbang kepada keharmonian dan kemajuan Negeri Sarawak dalam apa jua kapasiti dan peranan," tambahnya lagi.
--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment