KUHCING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata 53 Prinsip dan Tindakan yang diumumkannya sebelum dan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu bukan janji-janji kosong tetapi usaha-usaha ikhlas kerajaan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata ia penting untuk melindungi kepentingan rakyat negeri ini dan pada masa sama mengurangkan beban rakyat.
“Saya dengan bangga memaklumkan bahawa semua tindakan dan prinsip ini telah dilaksanakan kecuali beberapa perkara di bawah penurunan kuasa dan komitmen Petronas kerana pelbagai peringkat rundingan dengan kerajaan pusat dan Petronas masih berlangsung.
“Jelas rakyat telah mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Adenan yang mengetuai BN Sarawak melakar kemenangan besar iaitu 72 daripada 82 konstituensi negeri pada PRN lepas berkata dari segi undi popular ia menunjukkan peningkatan sokongan kepada BN daripada 55.4 peratus (PRN Ke-10) kepada 62.2 peratus pada PRN Ke-11.
Sebaliknya ujar beliau, undi popular pembangkang menunjukkan penurunan daripada 37.4 peratus pada PRN Ke-10 kepada 29 peratus pada PRN Ke-11.
Tambahnya, ia telah membuat pilihan dan kerajaan BN sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab terikat dengan tugas untuk menunaikan semua janji dibuat pada PRN lalu.
“Kami komited melaksanakan tanggungjawab untuk merangka pembangunan demi kemakmuran Sarawak dan memastikan kesejahteraan rakyat.
“Itulah sebabnya, kita menunaikan 53 Prinsip dan Tindakan untuk manfaat rakyat.
“Kita melaksanakan dasar-dasar dan strategi-strategi pembangunan menerusi Pelan Transformasi Sosioekonomi (SETP) dan inisiatif-insiatif transformasi bagi memakmurkan ekonomi negeri dan kehidupan rakyat.
“Oleh itu, program-program dan projek-projek kita (kerajaan negeri) adalah mesra rakyat dan memfokus kepada kawasan luar bandar,” katanya.
Mengenai usaha mendapatkan tambahan bayaran royalti minyak dan gas kepada 20 peratus, Adenan berkata kerajaan negeri akan terus mengadakan rundingan dengan Petronas dan pada masa sama meningkatkan penyertaan syarikat dari negeri ini terlibat aktif dalam industri minyak dan gas negara.
Menurutnya dengan ketidaktentuan harga minyak di pasaran ketika ini, kerajaan negeri akan meneruskan rundingan dengan Petronas lebih-lebih lagi dalam usaha mendapatkan bayaran royalti 20 peratus berbanding hanya lima peratus ketika ini.
“Hakikatnya kita telah mencapai beberapa kejayaan dalam lima bidang utama iaitu bekalan gas asli untuk sektor kuasa dan bukan kuasa, ekuiti dan royalti, kontrak-kontrak dan peluang -peluang perniagaan, tanggungjawab sosial korporat dan sumber manusia, pendidikan dan latihan teknikal,” jelasnya.
Menjelas mengenai bekalan gas asli, Petronas telah menandatangani lima perjanjian bagi menyokong pembangunan industri kuasa dan petrokimia di Sarawak.
“Menerusi perjanjian-perjanjian ini, antaranya Petronas komited membekalkan 450 juta kaki persegi standard sehari gas asli kepada Sarawak untuk pembangunan sektor tenaga dan bukan tenaga di negeri ini.
“Kita akan meneruskan rundingan untuk mendapatkan lebih banyak bekalan gas asli daripada Petronas terutama untuk aktiviti-aktiviti hiliran kita,” ujarnya.
Adenan juga memberitahu bahawa beliau optimis dengan ketersediaan gas asli di Sarawak, ia akan menarik lebih banyak industri petrokimia melabur di negeri ini lebih-lebih lagi di Bintulu.