KUCHING: Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan (MIDT) tidak bercadang membangunkan pengangkutan kereta api di kawasan perindustrian berskala besar terutama di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Menterinya Tan Sri Datuk Amar James Masing mengakui kawasan perindustrian tersebut dibangunkan dengan pertumbuhan logistik yang besar.
Bagaimanapun, pembinaan laluan rel untuk pengangkutan kereta api disifatkan masih terlalu awal untuk dilaksanakan pada masa ini.
“Hal ini kerana kita tidak mempunyai penumpang mahupun jumlah kargo untuk menyokong pelaburan tersebut,” katanya.
Masing berkata demikian semasa ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Menurutnya, memang tidak dinafikan kereta api merupakan altenatif yang lebih murah berbanding pengangkutan biasa menggunakan lori kargo.
Katanya setiap negara maju menggunakan kereta api sebagai sebahagian utama sistem pengangkutan untuk memuatkan pelbagai barang di samping penumpang.
“Kita juga boleh menggunakan pengangkutan (kereta api) ini, tetapi dengan syarat ia mesti digunakan dalam kapasiti penuh,” jelasnya.
Berikutan perkara itu, Masing menegaskan bahawa MIDT berpegang kepada prinsip keperluan bukan kemahuan.
Justeru, beliau berkata pihaknya bercadang membina jalan utama kedua negeri dari Sibu ke Kuching yang melibatkan jarak 200 kilometer (km) berbanding 400km menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo.
“Sarawak Express Way (jalan utama kedua) ini bakal mengurangkan jarak 200km dari Sibu ke Kuching, sekali gus menjimatkan masa sekurang-kurangnya dua hingga dua setengah jam berbanding tempoh perjalanan biasa,” katanya.
Selain itu, MIDT turut mencadangkan pembinaan lebuh raya utama dari Sebuyau ke Sri Aman dan menghubungkan Lebuh Raya Pan Borneo di Betong.
Masing menambah, visi pihaknya tidak terhenti begitu sahaja dalam membina rangkaian jalan utama di negeri Sarawak.
“Kita kini merancang untuk membina satu lagi lebuh raya dari Betong dan sepanjang sempadan Kalimantan, Indonesia.
“Jalan ini membabitkan jarak sejauh 300km dan akan berakhir di Ulu Sungai Baleh iaitu kawasan Empangan Hidroelektrik Baleh,” katanya.