MIRI: Sarawak tidak berdepan sebarang masalah kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi kerana jumlah kuota (minyak masak) diperuntukkan setiap bulan adalah mencukupi untuk keperluan pengguna negeri ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata sejumlah 2,505 tan metrik minyak masak telah diperuntuk untuk negeri ini setiap bulan dan 315 tan metrik daripadanya untuk edaran di Miri.
“Justeru adanya kuota sejumlah itu, sudah pasti kita mempunyai bekalan mencukupi. Sekiranya dibuat penggiraan, setiap pengguna dapat menggunakan sebanyak 1.5 kilogram (kg) setiap bulan.
“Sebenarnya, pengguna mempunyai banyak pilihan untuk minyak masak. Namun masih dijual pada harga subsidi RM2.50 adalah minyak masak dipeket dengan setiap bungkus seberat 1kg,” jelas beliau lanjut.
Stanley memberitahu demikian pada sidang media di sini selepas mengadakan pemeriksaan terhadap bekalan minyak masak di Pasar Raya Emart di sini.
Hadir sama Ketua Cawangan KPDNKK Miri, Alexander Averon Suwin serta para pegawai penguatkuasa.
Sehubungan itu menurut beliau, pihaknya telah mempergiat pemeriksaan di peringkat peruncit, pasar raya dan pemborong seluruh negeri termasuk Miri untuk memastikan bekalan minyak masak mencukupi serta tidak berlaku kegiatan menyorok barang kawalan tersebut.
“Kami amat mengalukan aduan daripada orang awam jika a ada peniaga yang didapati menjual minyak masak subsidi melebihi harga yang ditetapkan serta ada peniaga menyorok bekalan.
“Setakat ini, hanya satu kes dihasil berkaitan kesalahan menyimpan bekalan minyak masak secara berlebihan tanpa lesen sah. Kes ini berlaku di Serian,” katanya sambit memberitahu bila bekalan mencukupi tiada pembelian panik berlaku di kalangan pengguna.
Dalam pada itu, Stanley tidak menafikan masalah pengangkutan antara salah satu punca menyebabkan sesebuah kawasan di negeri ini mengalami masalah ketiadaan bekalan.
Katanya, keadaan ini berlaku bukan kerana tiada bekalan sebaliknya masalah pengangkutan yang menghantar bekalan tersebut ke sesebuah kawasan.
Sementara itu kata beliau KPDNKK memberi kebenaran pihak industri mengguna pakai pembungkusan lama iaitu peket dan botol dicetak dengan harga lama bagi tempoh dua bulan sehingga stok berkenaan habis diguna pakai sebelum cetakan harga baharu dibuat pada pembungkusan minyak masak.
“Dalam perkara ini, pihak peruncit dan pasar raya adalah dipertanggungjawab untuk mempamer dan melabel harga jualan baharu minyak masak tersebut,” jelasnya. -UB