ADAKAH TOK NAN TUNDUK DENGAN NAJIB RAZAK?
RAKYAT SARAWAK KECEWA DAN PATAH HATI
-Dimohon baca sehingga tamat, bukannya baca tajuk sahaja-
Selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB), Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Adenan Haji Satem mengumumkan untuk membatalkan usul menuntut Hak Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri ke 18 yang berlansung pada 21hb hingga 30hb September 2016. Alasan beliau, percaya kepada diplomasi dan memberi peluang dengan diskusi bersama YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak.
Pada 24 Oktober 2016, YAB Ketua Menteri Sarawak telah mengumumkan untuk membawa Usul yang secara spesifiknya menuntut Kerajaan Persekutuan memenuhi hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962 pada Persidangan DUN yang dijadual pada minggu hadapan. Pembatalan usul ini mengecewakan dan melenyapkan harapan sebahagian besar rakyat Sarawak untuk membawa balik keistimewaan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.
Bahkan implikasi pengumuman ini meruntuhkan sebahagian besar “heroic view” daripada rakyat Sarawak terhadap Tok Nan yang dianggap sebagai pejuang hak Sarawak kerana kelantangan beliau dalam menuntut hak-hak Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan sebelum ini. Saya ulangi, sebelum ini. Mungkin ramai yang sudah lupa apa yang berlaku antara Tok Nan dan kerajaan persekutuan sebelum ini selepas apa yang berlaku semasa pengumuman Tok Nan semalam. Selama ini, kita bersorak dan bergembira apabila Tok Nan mulai menunjukkan reaksi agresifnya dengan tindakan-tindakan yang berlawanan arus daripada Kerajaan Persekutuan, antaranya:
1. Tok Nan menghidupkan kembali “kuasa” Imigresen yang telah lama senyap dan menunjukkan bahawa Sarawak masih mempunyai keistimewaan seperti mana yang telah dipersetujui bersama dalam Perjanjian Malaysia 1963
2. Tok Nan dengan jelas menyebut bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sesuatu yang menyusahkan rakyat. Atas sebab itu, pelbagai tindakan dilakukan bagi meringankan beban rakyat Sarawak termasuklah penghapusan semua tol di Sarawak, Pemansuhan Cukai Tanah (Land Rent) dengan pengumuman pada 26 Februari 2016 menjadikan Sarawak negeri yang pertama berbuat sedemikian.
3. Tok Nan memulakan langkahnya dengan mengumumkan untuk menuntut Royalti 30 Peratus Hasil Petroleum pada hari ke 100 setelah duduk sebagai Ketua Menteri Sarawak dalam wawancaranya di RTM. Pada masa itu, belum pernah sesiapa pun menjangkakan bahawa Adenan Satem hendak berbuat sedemikian.
4. Menghalang pekerja-pekerja Petronas di Miri yang bukan asal Sarawak (Non Sarawakian) dengan membeku permit pekerja dari luar Sarawak pada 7 Ogos 2016 sehingga membawa kepada “Sarawak-Petronas Controversy”. Namun hasilnya, lebih banyak ruang pekerjaan kepada rakyat Sarawak dengan melantik beberapa anak tempatan Sarawak dalam pimpinan Petronas termasuklah Tan Sri Morshidi Gani dan mewujudkan lebih banyak tempat dan jawatan untuk anak Sarawak.
5. Mengisytiharkan untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai State Official Language pada 17 November 2015 dan menyebabkan bantahan daripada pihak sebelah Semenanjung Malaysia.
6. Adenan Satem dalam kenyataannya 10 November 2015 menjelaskan bahawa menuntut Hak Autonomi Sarawak bukanlah sesuatu perkara baharu kerana Hak Autonomi sememangnya sudah ada dalam Perjanjian Malaysia 1963 sejak dari dahulu lagi. Bahkan beliau menegaskan BN tidak akan menang sekiranya “bermain tarik tali” dalam isu Hak Autonomi Sarawak dan Adenan menegaskan tidak ada apa-apa yang Kerajaan Persekutuan perlu takuti ketika Sarawak meminta untuk mengembalikan Hak Autonomi.
7. Dan lain-lain yang boleh dirujuk dari pelbagai sumber.
Serentak dengan pengumuman tersebut, banyak keratan akhbar dan media sosial daripada pelbagai pihak termasuk pihak lawannya yang mengatakan tindakan Adenan Satem dalam membuat “U-Turn” sesuatu yang TIDAK DAPAT DIMAAFKAN. Oooopppss! Okay, kalau begitu apa kurangnya kalian yang selama ini BERPELUK TUBUH dan MENDIAMKAN DIRI. Adakah itu wajar dipuji dan dimaafkan? Tambahan pula, bila “big boss” kalian dari seberang sana mengumumkan akan memansuhkan Hak Imigresen Sarawak bila berjaya mendapatkan mandat di Putrajaya. Satu respon pun tidak kedengaran malahan entah kenapa kalian kecut perut. Jangan cuba beralih menjadi “hero” dalam kekeliruan yang berlaku.
Di sini izinkan saya berkongsi beberapa perkara:
1. Saya percaya ramai yang membaca tajuk sahaja dan tidak menghadam maksud penuh kebanyakan tajuk artikel mengenai pengumuman semalam dengan tajuk “Batalkan Usul Menuntut Hak Sarawak dalam Persidangan DUN, Percaya kepada Diplomasi”. Saya percaya ramai yang hanya menghadam hanya setakat “Batalkan Usul Menuntut Hak Sarawak” sehingga sebahagian besar kita merasakan bahawa Tok Nan menghentikan perjuangan Menuntut Hak Sarawak sepertimana yang beliau laungkan sejak duduk di kerusi Kepala Menteri itu.
2. Saya tidak merasakan berlakunya “Misleading Title” dalam artikel-artikel terbitan blogger tempatan seperti Sarawak Voice tetapi lebih kepada “Misinterpretation” atau salah tafsir yang membawa kepada makna yang berlainan. Gambaran sepatutnya ialah Tok Nan menangguhkan usul tersebut kepada mengutamakan diplomasi dan diskusi bersama Kerajaan Persekutuan.
3. Kenapa tak teruskan dengan usul di Dewan Undangan Negeri (DUN)? Untuk makluman tuan-tuan, Perjanjian Malaysia 1963 ialah Perjanjian Antarabangsa atau “International Treaty” yang mana jika dibincangkan sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tidak menjejaskan atau mengubah apa-apa pun berkenaan perjanjian tersebut. Hanya bila berlaku “pertelingkahan” atau “dispute” dalam kalangan ahli perjanjian (dalam kes ini: Malaya, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak) ianya dirujuk melalui International Arbitration, bukannya Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sahaja)
4. Jadi, kenapa utamakan diplomasi dan diskusi dengan Kerajaan Persekutuan? *(Ehemmm.... hehe ini bahagian yang menarik sekali)* Umum mengetahui kita bakal menghampiri jendela Pilihanraya ke 14 (PRU14). Dalam keadaan begini, kadar keterdesakan Putrajaya dalam terus memerintah Kerajaan Persekutuan sangat tinggi, tambahan Sarawak ialah “fixed deposit” Barisan Nasional. Potensi untuk mendapatkan kerusi di Semenanjung Malaysia semakin pudar, jadi hanya tinggal Sabah dan Sarawak sebagai “penyelamat” dan “penjamin” kepada Kerajaan di Putrajaya sedia ada. Dalam keadaan begini, peluang Tok Nan untuk “pull and push” dalam diskusi atau “rundingan” Perjanjian Malaysia 1963 bersama Perdana Menteri sangat tinggi. Memanfaatkan peluang ini sesuatu yang bijak dan sukar diperoleh apatah lagi dalam situasi “Musuh-musuh bersatu dan bergabung” melawan pimpinan Dato’ Sri Najib Razak.
5. Apa bezanya ada usul atau tiada usul di Dewan Undangan Negeri (DUN)? Secara signifikannya tiada perbezaan ketara jika dibandingkan dengan diskusi diplomasi bersama Kerajaan Persekutuan seperti yang telah disebut dalam poin no. 3 di atas, cumanya tindakan kolektif di Dewan Undangan Negeri memungkinkan bahawa tuntutan hak ini akan dibawa ke International Arbitration dan dirujuk semula sebagai International Treaty. Inilah yang dikatakan playing die hard. Saya merasakan tindakan membawa usul ini sesuatu yang sangat perlu, cumanya jadikan ianya sebagai opsyen terakhir setelah kita membuka ruang kepada Kerajaan Persekutuan (Sebenarnya kita yang buka meja diskusi, bukannya Kerajaan Persekutuan) menunjukkan potensi yang lemah. Diplomasi bukan bermakna Sarawak lemah, tetapi bertujuan mengelakkan konfrontasi atau dispute di antara Sarawak-Malaysia.
6. Oleh kerana keberangkalian untuk mendapatkan Hak-Hak Sarawak melalui Diplomasi dan Diskusi sangat tinggi, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Adenan Haji Satem memilih jalan ini kerana sesuai dengan keadaan semasa yang meyakinkan kita bakal “menang” dalam menuntut Kerajaan Persekutuan “mengembalikan” hak-hak Sarawak.
7. Dalam menuntut perkara sebesar ini, tindakan terburu-buru tidak boleh diamalkan. Kerana kita sekarang dalam situasi bermain “catur” bersama Kerajaan Persekutuan. Untuk seorang bekas majistret seperti Adenan Satem memahami bahawa Kerajaan Persekutuan juga ada kuasa dan nas perundangan tersendiri yang mungkin boleh “menggagalkan” hasrat untuk mengembalikan Hak-Hak Sarawak kerana kita sedia maklum bahawa Sarawak adalah Negeri dalam Malaysia (menurut Perlembagaan Persekutuan). Langkah sebegini dipanggil “structured negotiation”.
Kepada yang selama ini SENYAP dan BERPELUK TUBUH serta TIDAK PERNAH BUAT APA-APA dalam menuntut Hak Sarawak dalam Malaysia selama ini, dimohon terus TUTUP MULUT dan BERHENTI MENJADI HERO kerana anda mengambil kesempatan dalam kesempitan pada masa yang salah. Anda sepatutnya bersuara sebelum dan semasa Adenan Satem menuntut kembali Hak Sarawak, bukannya sekarang dengan kenyataan “Tok Nan tak layak dimaafkan”, “Tok Nan pengecut dan tunduk kepada Najib Razak”, “Tok Nan lembik dan tak bermaya”. Habis tu yang kuat, yang hebat, yang disanjung tu awaklah ye? Hahaha. Anda menyembunyikan diri di saat kami perlukan suara anda, sekarang anda kata anda hero? Pejuang? Di mana anda sewaktu kami memerlukan suara dan semangat anda?
Suka saya ingin mengulang kembali satu frasa yang pendek, tapi cukup kuat dan menusuk jiwa.
Frasa yang mengingatkan kita semua bahawa Sarawak bukan sahaja sekadar NEGERI dalam Malaysia, namun ianya sebagai salah satu Partner yang bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu dan Borneo Utara (Sabah) MEMBENTUK Malaysia.
Ingat frasa ini:
“Tiada Sarawak, Tiada Malaysia”
SYAHRIZZAL ARFANDY BIN HAJI ADAM
18 November 2016 / 18 Safar 1438H
PENAFIAN: Penulisan ini ialah merupakan pandangan peribadi penulis semata-mata berdasarkan pembacaan, rujukan dan sesi debat bersama akademia dan marhaen yang lain. Penulis menafikan sama sekali untuk menyebelahi mana-mana pihak terutamanya mana-mana parti politik dan jauh sekali untuk mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan mengapi-apikan mana-mana pihak. Penulis dengan uberrimae fidei (suci hati) menulis untuk menyatakan pandangan peribadi semata-mata untuk direnungi oleh sesiapa yang mahu menilainya dengan tulus.
-artikel tamat-