MIRI: Seorang lagi kanak-kanak dijumpai ditinggalkan di sebuah kedai makan yang terletak bertentangan sebuah bank di Jalan North Yu Seng di sini petang semalam.
Budak lelaki itu dipercayai berusia lingkungan empat tahun dijumpai merayau-rayau seorang diri di tepi kedai berkenaan oleh seorang pemuda.
Ketika dijumpai jam 1.45 petang, budak dipercayai berketurunan Melayu itu lengkap berbaju dan berseluar panjang berwarna kuning tertera tulisan ‘Didi and Friends’.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Khoo Leng Huat ketika dihubungi mengesahkan penemuan kanak-kanak itu.
Berikutan itu, pemuda terbabit kemudian terus membawa budak itu ke Balai Polis Pusat Miri.
“Pemuda itu ada bertanya kepada kanak-kanak terbabit namun pertuturannya tidak jelas.
“Dia kemudian membawa kanak-kanak terbabit ke Balai Polis Pusat Miri dan seterusnya membuat laporan polis berhubung penemuan budak itu,” katanya.
Sehubungan itu, budak terbabit dirujuk ke Hospital Miri untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan hasilnya mengesahkan budak itu dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Buat masa sekarang, kanak-kanak itu ditempatkan di Wad Paediatrik Hospital Miri untuk tindakan lanjut oleh pegawai pelindung daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri.
“Ini merupakan kes kedua budak ditemui ditinggalkan di tempat awam di Miri dengan kes pertama pada pagi Sabtu lalu membabitkan seorang kanak-kanak perempuan dianggarkan berusia antara dua hingga tiga tahun yang dijumpai ditinggalkan di hadapan sebuah kebun di Tukau, Jalan Bakam di sini,” katanya.