KUCHING - Perhimpunan Bersih 5 di sini tidak mendapat sambutan orang ramai dengan kehadiran kira-kira 180 peserta berbanding 5,000 kehadiran yang disasarkan kumpulan itu.
Kumpulan itu berkumpul di sudut tepi perkarangan Panggung Udara kerana tidak mendapat kebenaran pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebelum ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, peserta perhimpunan tersebut telah berkumpul bermula pukul 4 petang dan berhenti pada pukul 5.30 petang setelah kebetulan hujan.(Sabtu, 19 November 2016)
"Mereka telah berkumpul diluar kawasan panggung dan kesemuanya adalah terkawal tanpa ada kejadian yang tidak diingini.
"Kita melakukan pemantauan bagi memastikan Kuching dalam keadaan terkawal dan selamat," katanya.
Menurutnya, semua elemen digerakkan bagi memastikan keadaan adalah selamat dengan pergerakan trafik yang lancar.
"Pada masa ini, kita belum menerima sebarang laporan polis berkaitan perhimpunan ini cuma ada beberapa kain rentang yang tiada kelulusan telah dirampas," jelasnya.